JOHOR BAHRU – Seorang janda memberi alasan sudah bernikah semasa ditangkap khalwat dengan seorang lelaki warga India di rumahnya di sini, dalam operasi cegah maksiat semalam.
Namun, cubaannya untuk meyakinkan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang melakukan serbuan pukul 12.30 tengah malam gagal malah menimbulkan keraguan.
Menurut JAINJ, penguat kuasa membuat pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam berkenaan pasangan berkenaan berdua-duaan dalam rumah di dalam kawasan kampung itu.
“Tiba di lokasi penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil dengan kuat. Pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita yang memakai baju tidur paras lutut.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan lanjut. Penguat kuasa tidak menjumpai sesiapa di ruang tamu seterusnya pergi ke bilik tidur.
“Di satu bilik pintu keadaan samar-samar dan penguat kuasa membuka suiz lampu. Ditemui seorang lelaki sedang duduk atas katil dalam keadaan memakai seluar panjang.
“Keadaan katil kelihatan tidak kemas dengan cadar sudah kusut dan dua bantal sudah jatuh ke bawah,” menurut JAINJ dalam satu kenyataan.
JAINJ memberitahu, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku sudah bernikah tetapi gagal menunjukkan surat nikah.
Apabila penguat kuasa meminta menunjukkan gambar atau video nikah, pasangan berkenaan juga gagal menunjukkan bukti tersebut.
“Akhirnya wanita ini seterusnya menyatakan, pernikahannya tidak melalui kelulusan pejabat kadi. Dia kata pernikahan ini berlaku di sebuah rumah rakan wanita.
“Apabila ditanya berkenaan wali, wanita kata walinya adalah bapa saudara sebelah ibunya. Terus penguat kuasa soal kembali berkenaan wali kerana bapa saudara sebelah ibu tidak boleh menjadi wali.”
Lelaki itu merupakan seorang warga India beragama Islam, berumur 30-an, berstatus suami orang dan bekerja di sebuah restoran di Johor Bahru.
Wanita pula seorang warga tempatan berumur 40-an, berstatus janda dan bekerja di sebuah pasar raya di daerah ini.
Menurut pengadu, lelaki itu sekali sekala datang ke rumah wanita tersebut yang tinggal seorang diri.
Pada malam diberkas, lelaki itu datang menaiki e-hailing kira-kira pukul 10 malam dan terus masuk ke rumah.
“Hasil soal siasat, lelaki ini membayar separuh dari sewa rumah ini setiap bulan. Sebagai balasan, lelaki ini boleh datang dan mendapat layanan percuma di rumah ini.
“Mereka mengaku berkenalan dalam setahun melalui internet apabila wanita sering buat live menjual barangan secara sambilan. Pembaca juga mungkin pernah tengok TikTok wanita ini secara live yang boleh tahan ramai juga peminatnya,” kata kenyataan itu.
Tambah JAINJ lagi, lelaki itu sudah ada isteri di negara asal dan hanya balik kampung setahun sekali.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.
Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429. – MalaysiaGazette
















