BESSASIA turut mendapat sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) sambil disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

KUALA LUMPUR –  Syarikat yang memfokuskan kepada penyelesaian sistem simpanan tenaga bateri (BESS), BESSASIA memperkenalkan siri produk terkini iaitu Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS yang direka khas untuk membantu industri bagi mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dan mengoptimumkan penggunaan tenaga semasa waktu puncak.

Ketua Pegawai Eksekutif BESSASIA, Ir Andy Chan berkata, produk tersebut juga menawarkan ciri bagi meningkatkan kestabilan bekalan tenaga selain menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui seperti solar yang mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.

Menurutnya, pengenalan produk itu menandakan komitmen BESSASIA dalam memperkukuh transformasi tenaga industri menerusi penyelesaian penyimpanan tenaga hijau yang lebih cekap, mampan dan menjimatkan kos operasi bagi sektor pembuatan, logistik, pusat data, utiliti serta industri berat.

“Pelancaran siri BESS ini yang mendapat cetusan idea daripada penggunaan bank kuasa atau power bank merupakan langkah strategik BESSASIA dalam menyediakan penyelesaian tenaga masa hadapan kepada industri di rantau Asia.

“Kami percaya teknologi penyimpanan tenaga akan menjadi komponen penting dalam membantu syarikat mengawal kos operasi dan meningkatkan kecekapan tenaga secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan sempena penyertaan syarikat pada pameran METALTECH & AUTOMEX 2026 yang sedang berlangsung di MITEC di sini.

Pada pameran itu, BESSASIA turut mendapat sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) sambil disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

BESSASIA merupakan syarikat yang memfokuskan kepada penyelesaian Battery Energy Storage System (BESS) dan teknologi tenaga pintar bagi menyokong pembangunan industri rendah karbon, kecekapan tenaga dan transformasi tenaga mampan di Asia.

Mengulas lanjut, Andy memberitahu, pengiktirafan ke atas Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS itu adalah bukti komitmen dan kesungguhan keseluruhan kakitangannya untuk mencapai standard keselamatan yang tinggi.

Kata beliau, pensijilan itu bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna dan dipercayai sebaliknya dapat memastikan produk syarikat sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk memberi manfaat kepada industri dan juga masyarakat.

“Selain sasaran pelanggan di kalangan syarikat utiliti, produk ini juga boleh menjadi pengganti kepada generator sebagai pilihan baharu terutamanya ketika harga diesel semakin mahal.

“BESSASIA mengambil masa sekitar satu tahun untuk menghasilkan siri produk ini yang menggunakan bateri kuasa atau power bank menerusi transformasi kaedah sama kepada kapasiti lebih besar untuk kilang, rumah dan ruang pameran,” katanya.

Sementara itu, sempena pameran METALTECH 2026, para pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi teknologi BESSASIA termasuk sistem penyimpanan tenaga berskala industri, penyelesaian peak shaving dan load shifting, konsep integrasi sistem solar + BESS, dan pemantauan tenaga pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast