KUALA LUMPUR – Graduan Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET), Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus cemerlang apabila seramai 100 individu diambil bekerja hasil kerjasama dengan Samsung.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka terdiri daripada pemegang diploma elektronik akan berkhidmat dengan syarikat tersebut dengan gaji RM3,700 sebulan.
“Alhamdulillah kerjasama MARA dengan Samsung membuahkan hasil. 100 graduan TVETMARA diploma elektronik diambil kerja setelah konvo semalam dengan gaji RM3,700.
“Banyak lagi syarikat antarabangsa yang jalin kerjasama strategik sebegini,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Samsung merupakan konglomerat multinasional gergasi yang beribupejabat di Suwon, Korea Selatan yang mengeluarkan teknologi, elektronik dan cip memori terbesar dunia.
Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kadar kebolehpasaran graduan MARA menerusi TVET dan Kolej Profesional MARA membuktikan pendidikan yang ditawarkan bukan lagi dianggap pendidikan pinggiran.
“Kejayaan ini turut diperkuatkan dengan jaringan seramai 238,027 alumni TVETMARA dan Kolej Profesional MARA yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang serta menjadi tenaga kerja mahir yang menyokong pembangunan negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Asyraf Wajdi selanjutnya berkata, MARA akan berusaha menjalinkan dengan banyak lagi syarikat-syarikat Multinasional (MNC) antarabangsa dan dalam negara.
Ujarnya, ia bagi memastikan graduan-graduan TVET daripada Institusi-institusi Pendidikan MARA yang menawarkan lebih 400 bidang kemahiran TVET mendapat pekerjaan dengan gaji premium.
Katanya, program-program TVETMARA lebih anjal dari segi kurikulumnya kerana MARA sentiasa tambah baik mengikut keperluan dan kerelevananya dengan industri.
Menurut beliau, malah kebanyakan program TVETMARA mendapat pengiktirafan industri.
“Alhamdulillah sukacita saya ingin mengumumkan peratusan kebolehpasaran graduan TVETMARA sudah mencecah 97.22 peratus tahun ini,” ujar hantaran itu.
Kata Asyraf Wajdi, semua inisiatif tersebut dilakukan untuk memastikan anak-anak Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak diangkat martabatnya dari segi ekonomi dan kehidupan.
“Semuanya bermula dengan pendidikan bermutu tinggi. MARA terus membantu!,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















