KUANTAN – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan sekali gus menjadi pemacu utama kepada transformasi ekonomi negara.
Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah berkata, Malaysia perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti industri dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerjaan berintensifkan buruh.
Menurut beliau, peralihan ke arah ekonomi berteknologi tinggi adalah penting selari fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan negara mampu mencapai status negara maju pada masa depan.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada model ekonomi lama yang terlalu tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah sedangkan sistem pendidikan negara semakin berkembang ke arah bertaraf antarabangsa.
“Penggunaan AI dan teknologi moden mampu membantu syarikat serta kilang meningkatkan produktiviti, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Jelajah AI MyMahir di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang, di sini, hari ini.
Mohd Shahar berkata, kerajaan menerusi RMK13 turut memberi penekanan terhadap usaha memperluaskan literasi teknologi kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk di kawasan bandar kecil dan luar bandar.
Katanya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan AI kini semakin meningkat apabila golongan usahawan kecil, pelajar sekolah, mahasiswa dan pemimpin komuniti mula menunjukkan minat mendalam untuk memahami teknologi berkenaan.
“AI bukan hanya untuk golongan profesional di bandar besar. Teknologi ini juga boleh dimanfaatkan oleh usahawan kecil untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan mereka tanpa memerlukan kos terlalu tinggi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Program Jelajah AI MyMahir yang dianjurkan Talent Corporation Malaysia Berhad dengan kerjasama UMPSA dan EY Malaysia menerima sambutan di luar jangkaan apabila menarik seramai 450 peserta.
“Sambutan ini menunjukkan rakyat semakin berminat mendalami teknologi AI dan perkembangan digital semasa, lebih-lebih lagi penyertaan dibuat secara sukarela menerusi media sosial,” katanya.
Program itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memperkasa kefahaman rakyat terhadap AI menerusi latihan praktikal dan interaktif melibatkan pelbagai modul termasuk produktiviti kerja, pembangunan kerjaya, keusahawanan dan penggunaan teknologi dalam kehidupan harian. – MalaysiaGazette
















