KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Jalan Duta di sini selepas didapati terlibat dalam cubaan samun di kawasan parkir Columbia Asia Hospital, Bukit Jalil pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, suspek bertindak agresif dengan membuka pintu kenderaan mangsa seorang wanita sebelum cuba merampas telefon bimbit serta melarikan beg milik mangsa.
Menurut beliau, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa menjerit meminta bantuan menyebabkan suspek melarikan diri menaiki sebuah motosikal.
Bagaimanapun tiada kerugian material dilaporkan dalam kejadian tersebut, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di kawasan Brickfields pada 20 Mei kira-kira pukul 5.36 petang.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau. Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai jaket jenama Puma dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” ujarnya.
Suspek direman selama dua hari sehingga 22 Mei lalu sebelum dituduh di Mahkamah Jalan Duta di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 11 bulan bermula dari tarikh tangkapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















