KUALA LUMPUR – Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC) kini menjadi hotel pertama di pusat bandar raya serta industri hospitaliti yang menawarkan gelanggang pickleball dan padel seterusnya memperkukuh lagi penawaran gaya hidup dan rekreasi kepada para tetamu dan pengunjung.
Dimiliki oleh Skycourts Kuala Lumpur yang terletak di tingkat sembilan, pembukaan empat gelanggang itu sekaligus menandakan satu pencapaian baharu dalam perkembangan sukan urban di tengah-tengah ibu kota yang menawarkan pemandangan awan biru.
Pengurus Besar Perdana KLCC, Zakaria Ismail berkata, pihaknya mementingkan konsep mengintegrasikan elemen rekreasi berteraskan gaya hidup dalam persekitaran hospitaliti sebagai satu tambah nilai menerusi kolaborasi pihak luar.
“Kerjasama dengan Skycourts Kuala Lumpur mencerminkan komitmen kami dalam mempertingkatkan pengalaman tetamu dan komuniti di Perdana KLCC secara keseluruhan dengan menyokong gaya hidup yang lebih sihat dan aktif.
“Fasiliti ini menawarkan pengalaman sosial dan sukan urban yang lengkap di tengah bandar dengan kemudahan masing-masing dua buah gelanggang pickleball dan padel, bilik persalinan, surau dan kafe,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi gelanggang itu di sini hari ini.
Zakaria menambah, kadar gelanggang pickleball ditawarkan pada harga RM50 sejam pada waktu puncak dan RM40 sejam bagi waktu bukan puncak manakala gelanggang padel pula ditawarkan pada harga RM160 sejam pada waktu puncak dan RM140 sejam pada waktu bukan puncak.
Kata beliau, orang ramai boleh mendapat promosi terkini, maklumat semasa dan tawaran menarik di Instagram dan Facebook skycourts.my bagi merancang perlawanan anda bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati penginapan selesa di Perdana KLCC
“Ini kerana Perdana KLCC turut menawarkan suite dua dan tiga bilik tidur yang ideal untuk keluarga dan rakan-rakan dengan kelengkapan kemudahan dapur kecil, kolam renang, taman permainan kanak-kanak serta pelbagai pilihan bufet sarapan pagi.
“Tetamu juga boleh menikmati akses mudah ke pusat beli-belah dan restoran tempatan berhampiran, menjadikannya penginapan yang sesuai untuk perjumpaan, permainan santai dan percutian di bandar.
“Dengan lokasinya terletak berhampiran stesen MRT Persiaran KLCC dan LRT Ampang Park, hotel ini turut menawarkan akses mudah ke destinasi popular seperti Menara Berkembar PETRONAS dan The Exchange TRX,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2000, Perdana Kuala Lumpur City Centre dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan diuruskan oleh Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd.
Terletak strategik berhampiran Menara Berkembar Petronas, hotel ini menawarkan akses mudah ke rangkaian pengangkutan utama serta pusat membeli-belah seperti Suria KLCC, Pavilion, Lot 10, Bintang Walk dan Sungei Wang Plaza.
Stesen MRT Persiaran KLCC yang terletak bersebelahan turut menyediakan sambungan terus ke destinasi penting termasuk The Exchange TRX. – MalaysiaGazette

















