MELAKA – Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka yang semakin berskala besar dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Ahli perniagaan, Datuk Chew Chert Fong berkata, perubahan konsep sambutan yang kini menampilkan pelbagai aset pertahanan serta pertunjukan udara memberikan tarikan baharu kepada pelancong dan pengunjung dari luar Melaka.
Langkah berkenaan turut membantu memperluas imej Melaka yang selama ini lebih dikenali sebagai destinasi warisan kepada negeri yang mampu menganjurkan acara berskala besar dan berimpak tinggi.
“Melaka sememangnya terkenal peringkat antarabangsa dengan sejarah, warisan dan makanannya, tetapi acara berskala besar seperti ini memberikan satu lagi sebab kepada pelancong untuk datang ke negeri ini.
“Sambutan Hari Kebangsaan yang menampilkan pesawat tentera, kapal perang dan persembahan kebudayaan mampu menarik perhatian masyarakat luar serta memperkukuh kedudukan Melaka dalam peta pelancongan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Cat Supermarket itu berkata, peningkatan jumlah pengunjung sempena sambutan itu secara tidak langsung berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, restoran, peruncitan, pusat tarikan pelancong dan peniaga kecil.
Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri dilihat mengalami perubahan ketara sejak dua tahun lalu apabila kerajaan negeri memperkenalkan pengisian yang lebih besar dan pelbagai di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Tahun lalu, kita menyaksikan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM menggegarkan ruang udara Melaka tetapi tahun ini pula orang ramai berpeluang melihat kapal perang, pesawat pejuang dan pelbagai aset Angkatan Tentera Malaysia secara lebih dekat.
“Sambutan ini kini berada pada tahap yang sama sekali berbeza dan mampu menjadi salah satu acara yang mengangkat nama Melaka,” katanya.
Chert Fong berkata, penglibatan aset pertahanan juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan serta pengorbanan pasukan keselamatan negara.
Sambutan kali ini buat julung kali dalam tempoh 69 tahun, Melaka diberi penghormatan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mempamerkan lima buah kapal perang.
Ia sebagai tanda sokongan TLDM kepada Kerajaan negeri Melaka yang menyambut hari penuh bersejarah itu di Dataran 1 Malaysia, Klebang.
Sebanyak lima kapal TLDM yang terlibat iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, KD Terangganu, KD Lekir, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Gempita.
Kesemua kapal perang terbabit terlibat dalam Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 di perairan Pantai Klebang bermula esok hingga Isnin ini. – Malaysia Gazzette
















