KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai dasar berkaitan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Presidennya Tan Yew Sing mendakwa berlaku percanggahan antara kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, Perdana Menteri pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, 16 Mei lalu secara terbuka menyatakan bahawa pemegang UEC yang layak boleh memohon sebarang kursus bersesuaian seperti perakaunan kerana pilihannya tidak terhad kepada kursus-kursus terkait bahasa semata-mata.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi terbaharu KPT pula mengumumkan bahawa Jemaah Menteri hanya bersetuju untuk membenarkan pemegang UEC yang mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon empat kursus berkaitan bahasa dan pengajian Cina di tiga universiti awam.
Tegas beliau, Dong Zong dan Jiao Zong kesal dengan keputusan tersebut kerana ia sangat berbeza dengan harapan masyarakat Cina yang mahukan pembukaan secara menyeluruh.
“Situasi “satu dasar, dua nada” bagi sebuah dasar yang sebegini penting adalah amat mengelirukan.
“Oleh itu, kerajaan perlu segera memperincikan dasar ini secara konkrit demi melenyapkan kemusykilan semua pihak, termasuk skop kursus yang boleh dimohon oleh pemegang UEC pada peringkat ini, kaedah pengiraan merit, serta saluran pendaftaran, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Yew Sing berkata, isu pengiktirafan penuh UEC adalah lebih luas dan harus merangkumi pengiktirafan terhadap kedudukan pendidikan pelbagai aliran serta pengagihan sumber negara secara adil, termasuklah kelayakan bagi tujuan pelantikan dalam perkhidmatan awam dan permohonan biasiswa tajaan kerajaan.
Kedua-dua perkara tersebut tidak harus dicampuradukkan dan tidak patut dipolitikkan sama sekali oleh mana-mana pihak, tegasnya.
Katanya, meskipun tidak berpuas hati dengan pengumuman kali ini, Dong Zong tidak menafikan langkah tersebut membuka sebuah laluan baharu kepada pemegang UEC untuk melangkah ke IPTA.
Jelas beliau, persekitaran pendidikan tinggi yang terbuka dan majmuk akan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Perkembangan ini bukanlah suatu titik noktah, dan seluruh lapisan masyarakat akan terus menggembleng usaha untuk memacu agenda ini menuju ke hadapan,” ujarnya.
Menurut Yew Sing, Dong Zong percaya bahawa akses oleh pemegang UEC kepada semua kursus secara sama rata adalah layanan yang adil dan wajar dinikmati oleh setiap warganegara.
Ini kerana asas yang sedia terbina hari ini adalah batu loncatan untuk terus mara ke masa depan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan meneliti kaedah untuk membolehkan pelajar daripada latar belakang sistem pendidikan yang berbeza termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Agama dan Sekolah Antarabangsa untuk menyambung pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan potensi mereka di bawah sebuah mekanisme yang adil.
“Ini adalah suatu faktor penting dalam pembinaan sebuah ekosistem pengajian tinggi yang lebih inklusif.
“Oleh itu, wajarlah semua pihak mencerakinkan isu ini dengan sikap yang rasional dan objektif, serta mengelakkan manipulasi politik demi menghalang cetusan konflik perkauman atau tantangan sosial,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dong Zong menyeru para graduan SMPC tahun ini yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan bahasa dan pengajian Cina agar merebut peluang tersebut dan segera membuat permohonan.
Perkembangan tersebut diharapkan akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar dan bermakna di masa hadapan.
Pada masa yang sama, Dong Zong berharap agar kerajaan terus membuktikan tekad reformasi dengan menzahirkan dasar yang lebih menghargai dan menyayangi bakat, agar setiap warganegara benar-benar dapat mengecapi layanan yang adil dan saksama. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















