Shafiq Muraly Abdullah.

GEORGE TOWN – Kerjaya dalam bidang keselamatan tidak wajar dipandang rendah atau dijadikan pilihan terakhir kerana profesion itu kini mampu menawarkan pendapatan mencecah RM15,000 sebulan kepada pengurus keselamatan berpengalaman.

Pengerusi Pertubuhan Pengamal Keselamatan Pulau Pinang (PENSEC), Shafiq Muraly Abdullah berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi lama yang menganggap pekerjaan dalam bidang keselamatan sebagai kerjaya ‘tiada standard’.

Menurutnya, bidang keselamatan ketika ini sudah banyak berubah dan usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan semula standard profesion itu di Malaysia.

“Kita kena mula tukar pemikiran masyarakat. Lepas sahaja tamat universiti, seseorang itu boleh memohon jawatan sebagai pengurus keselamatan atau eksekutif keselamatan yang kini menawarkan gaji tinggi malah hampir menyamai pendapatan seorang jurutera.

“Malah ada dalam kalangan pengurus keselamatan berpengalaman yang mampu memperoleh gaji antara RM13,000 hingga RM15,000 sebulan daripada syarikat atau kilang tempat mereka bekerja,” katanya kepada pemberita di sini selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PENSEC di sini hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Shafiq berkata, tugas pengawal keselamatan pada masa kini juga jauh berbeza berbanding era 1980-an dan 1990-an yang ketika itu hanya dikenali sebagai guard dengan tugas mengawal palang masuk dan keluar.

Katanya, pengawal keselamatan kini memainkan peranan lebih besar termasuk mengendalikan sistem pengurusan pelawat serta menguruskan pelbagai aspek keselamatan di premis.

Dalam pada itu, beliau berkata, bidang keselamatan turut berdepan cabaran perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang digunakan secara meluas di syarikat, kilang serta sektor logistik.

Bagaimanapun keperluan terhadap pengawal keselamatan masih tinggi, malah pengawal keselamatan dari Nepal terus menjadi pilihan kebanyakan syarikat kerana faktor disiplin dan komitmen kerja.

“Mereka boleh bekerja sehingga 31 hari tanpa ponteng dan jarang datang lewat berbanding pekerja tempatan yang kebiasaannya tidak mampu bertahan lama dalam bidang ini.

“Atas sebab itu juga, kami di PENSEC sedang berusaha meningkatkan standard kerjaya keselamatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, sehingga kini kira-kira 2,500 peserta telah menerima manfaat menerusi program latihan keselamatan daripada pelbagai sektor termasuk perkilangan, logistik dan pembinaan yang dianjurkan PENSEC sejak ia ditubuhkan pada tahun 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast