Keadaan sebuah Proton Wira yang ditemui di tepi Jalan Simpang 3 Tawar, Baling dengan seorang lelaki dipercayai meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut semalam.

KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira di tepi Jalan Simpang 3 Tawar, Baling, Kedah berhampiran tanah perkuburan Cina semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Brandon Anak Richard Joe berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.35 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bergegas ke lokasi sebelum mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan berkunci dan terdapat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia di dalamnya.

“Pasukan bomba dan penyelamat hadir membantu membuka pintu serta mengeluarkan si mati dari dalam kenderaan. Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan forensik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai 20 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Selain itu, semakan mendapati kereta yang digunakan mangsa mempunyai rekod hilang bersangkut dengan laporan polis di Pendang dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas kenderaan terbabit bagi tujuan siasatan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, Brandon meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan demi menjaga sensitiviti keluarga si mati.

Beliau turut meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Tawar, SM Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast