KUALA LUMPUR – Sebuah rumah separuh kekal di Jalan Tansau, Kampung Duvanson, Putatan, Sabah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 3.26 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40×50 kaki yang terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan nyawa terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera serta pili bomba berhampiran yang berjaya dikawal pada 3.58 pagi.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 6.20 pagi,” katanya.

Terdahulu Musran berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan dan BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ia termasuk tiga kenderaan operasi tiba di lokasi pada jam 3.32 pagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast