KUALA LUMPUR – Satu insiden kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres setingkat di Taman Seri Putri, Meru pagi tadi telah mencetuskan suasana cemas di kawasan perumahan tersebut.
Bagaimanapun pihak bomba berjaya mengawal sepenuhnya api merebak dan tidak berlaku sebarang kecederaan kepada mangsa.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.58 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, pasukan bomba bertindak pantas melakukan pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan serta satu aliran salur bantu mula daripada pili bomba dan pam jentera.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan rumah bernombor 38, 40 dan 42 di Jalan Restu 2. Rumahnombor 40 mengalami kemusnahan paling serius dengan anggaran 60 peratus manakala rumah 38 hanya terbakar sekitar dua peratus dan rumah 42 sebanyak satu peratus,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















