MUAR – Polis sedang mengesan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam yang dilaporkan hilang dari rumahnya Taman Limbong Maju, Jalan Temenggong, Parit Jawa di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita tersebut keluar dari rumah pada 7 Mei lalu pukul 3 petang dan sehingga kini masih belum pulang.
“Kali terakhir Puteri Janna Mansor yang berusia 28 tahun iaitu seorang OKU lembam dilihat memakai seluar jeans panjang warna hitam dan baju kemeja tidak pasti warna.
“Dia menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru dan putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali wanita berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Parit Jawa 06-9874122, Hotline IPD Muar 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















