Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Rafidah Ridwan.

JOHOR BAHRU – Program Jualan Rahmah tidak boleh terus dijalankan secara bergerak atau bermusim semata-mata, sebaliknya perlu diinstitusikan sebagai pusat jualan mini tetap di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Rafidah Ridwan berkata, ia dengan memberi tumpuan khusus kepada bekalan barangan bayi dan makanan ruji pada kadar sekurang-kurangnya 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran komersial.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan mewartakan harga siling tetap bagi susu formula asas dan lampin pakai buang bayi.

Jelasnya, langkah tersebut perlu dilakukan melalui skim harga maksimum secara berterusan dan bukan sekadar bermusim ketika musim perayaan.

Selain itu, katanya, struktur margin keuntungan melibatkan pengilang, pemborong dan pengedar perlu diaudit secara menyeluruh bagi membendung aktiviti pencatutan harga yang membebankan rakyat.

“Pejuang Johor turut mencadangkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) mewujudkan Hab Kebajikan Susu Ibu Tunggal menerusi sistem baucar digital khas barangan bayi berasaskan data PADU.

“Ini bagi membantu ibu tunggal serta keluarga B40 tegar mendapatkan bantuan secara automatik tanpa kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Pejuang Johor memandang serius tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat khususnya golongan ibu bekerja, suri rumah dan ibu tunggal.

Dakwanya, mereka kini berdepan kenaikan mendadak harga barangan keperluan bayi seperti susu formula dan lampin pakai buang.

“Di sebalik pengumuman pertumbuhan ekonomi makro yang rancak di peringkat negeri, realiti sebenar di atas meja makan dan dapur rakyat marhaen menunjukkan keadaan yang jauh berbeza apabila ramai keluarga muda di Johor terpaksa mengikat perbelanjaan demi meneruskan kelangsungan hidup harian.

“Kos keperluan asas bayi kini menjadi antara komponen perbelanjaan isi rumah yang paling membebankan, terutama bagi keluarga B40 dan M40 yang mempunyai dua anak kecil, apabila perbelanjaan susu formula dan lampin sahaja dianggarkan menelan sehingga 25 hingga 30 peratus daripada pendapatan bersih bulanan mereka,” katanya.

Ujar beliau, Pejuang Johor melihat situasi itu sebagai satu bentuk ‘inflasi poket dapur’ yang semakin membimbangkan dan memerlukan campur tangan segera kerajaan.

Ketiadaan intervensi harga siling yang tegas, katanya, menyebabkan rakyat terus menjadi mangsa manipulasi harga runcit dan tekanan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Lebih membimbangkan, menurutnya, wujud trend dalam kalangan keluarga miskin tegar yang terpaksa mencairkan sukatan susu formula bayi atau menggantikannya dengan alternatif yang tidak sesuai demi menjimatkan kos harian.

Tindakan terdesak seperti itu katanya, bukan sahaja mengancam perkembangan fizikal dan nutrisi anak-anak, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan generasi masa depan negara.

“Dalam masa yang sama, kenaikan harga susu formula dan lampin pakai buang turut menjejaskan aliran tunai keluarga apabila lebihan pendapatan yang sepatutnya digunakan untuk simpanan pendidikan anak-anak, perlindungan kesihatan dan kecemasan terpaksa dihabiskan bagi menampung keperluan asas harian,” katanya.

Ujarnya, Pejuang Johor percaya sebuah negeri yang benar-benar maju bukan hanya diukur melalui angka pelaburan dan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi sejauh mana kerajaan mampu menjaga kebajikan rakyat di peringkat isi rumah.

“Kita tidak boleh berbicara tentang masa depan Bangsa Johor sekiranya para ibu masih terpaksa mengikat perut dan menanggung tekanan kewangan hanya untuk membeli setin susu formula demi anak-anak mereka.

“Ekonomi yang kukuh bermula daripada keluarga yang stabil, anak-anak yang cukup nutrisi dan rakyat yang hidup dengan bermaruah. Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mesti bertindak segera sebelum krisis kos sara hidup ini terus menjejaskan kesejahteraan keluarga di Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast