Gambar hiasan

KUANTAN – Pertubuhan Peladang Kawasan Tioman di Pulau Tioman sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan bagi mempertimbang pengecualian sepenuhnya atau penambahan kuota petrol subsidi untuk penduduk pulau berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim memaklumkan perkara itu dan berkata bahawa Kerajaan Negeri memandang serius isu kuota petrol subsidi di pulau itu yang didakwa tidak lagi mencukupi bagi menampung keperluan harian penduduk setempat.

“Kuota semasa sebanyak 1,000 liter seminggu dilihat tidak selaras dengan kadar penggunaan sebenar masyarakat di pulau berkenaan, khususnya melibatkan sektor pengangkutan laut dan aktiviti ekonomi penduduk.

“Keadaan geografi  Pulau Tioman yang bergantung kepada pengangkutan bot menjadikan petrol subsidi sebagai keperluan asas utama penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razali, sebahagian besar kampung di pulau itu hanya boleh dihubungi melalui laluan laut, termasuk perjalanan ke Kampung Tekek yang menjadi pusat utama urusan pentadbiran, perkhidmatan dan ekonomi masyarakat setempat.

Keadaan itu katanya, menyebabkan penduduk amat bergantung kepada bekalan petrol subsidi untuk urusan harian seperti mendapatkan bekalan makanan, menghantar anak ke sekolah, menjalankan aktiviti perniagaan serta mendapatkan rawatan kesihatan.

“Berdasarkan laporan penggunaan semasa, keperluan diesel pada musim monsun merekodkan penggunaan minimum sekitar 2,700 liter seminggu, manakala ketika musim puncak pelancongan penggunaan boleh mencecah lebih 15,000 liter seminggu.

“Peningkatan aktiviti ekonomi serta pertambahan keperluan harian masyarakat setempat menjadikan kuota sedia ada tidak lagi relevan dengan situasi semasa,” katanya.

Sebagai destinasi pelancongan utama negara, beliau berkata, Pulau Tioman memerlukan pertimbangan khas daripada kerajaan agar kebajikan penduduk dan kelangsungan ekonomi tempatan terus terpelihara.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan permohonan tersebut secara segera demi memastikan kesejahteraan komuniti pulau tidak terjejas.

Permohonan berkenaan difahamkan telah dikemukakan pada 19 Mei lalu bersama laporan jualan petrol subsidi tahun 2025 sebagai dokumen sokongan rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast