PONTIAN – Seorang penyelia projek rugi RM200,400 akibat terpedaya selepas menyertai kumpulan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima laporan kejadian tersebut semalam.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun merupakan penyelia projek syarikat swasta. Semuanya bermula pukul 11.10 pagi pada 6 Februari lalu semasa pengadu berada di rumah di Taman Megah di sini.
“Pengadu menyertai kumpulan pelaburan saham melalui pautan dalam aplikasi Instagram. Pengadu kemudian berhubung dengan beberapa individu yang memperkenalkan pelaburan saham menggunakan aplikasi dagangan TBGIA di bawah syarikat Thornburg.
“Pengadu turut dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan dan diyakinkan pelaburan tersebut mampu memberi keuntungan tinggi sehingga 80 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tertarik dengan tawaran tersebut mangsa membuat transaksi deposit secara berperingkat-peringkat bermula 9 Mac hingga 19 Mei lalu ke dalam tiga akaun syarikat.
Katanya, akaun tersebut yang diberikan suspek bagi tujuan pelaburan dan penyertaan IPO melibatkan jumlah keseluruhan RM200,400.
Menurutnya, pengadu kemudian dimaklumkan berjaya memperoleh saham IPO bernilai kira-kira RM380,000 namun apabila ingin membatalkan penyertaan kerana tidak mampu membuat bayaran penuh, permintaan tersebut ditolak.
Namun katanya, pengadu terus dipujuk untuk meneruskan pembayaran.
“Masalah timbul apabila pengadu ingin mengeluarkan keuntungan dan menutup akaun dagangan, namun suspek meminta bayaran komisen sebanyak 20 peratus daripada keuntungan IPO sebelum pengeluaran dibenarkan.
“Permintaan pengadu supaya komisen dipotong terus daripada baki akaun dagangan turut ditolak,” katanya.
Pengadu katanya, mula mengesyaki dirinya ditipu apabila wang dalam akaun dagangan berjumlah RM2,664,545.26 tidak dapat dikeluarkan dan alasan yang diberikan suspek tidak munasabah.
Akibat kejadian tersebut katanya, pengadu mengalami kerugian RM200,400 sebelum tampil membuat laporan polis.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda. – MalaysiaGazette
















