Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan bahawa perpecahan dalaman merupakan ancaman terbesar yang boleh melemahkan sesebuah gabungan parti politik seperti Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, musuh luar masih boleh dihadapi sekiranya gabungan itu berada dalam keadaan kukuh dan bersatu, namun perbalahan dalaman hanya akan membawa kepada kekalahan.

“Musuh di luar boleh dilawan, tetapi perpecahan dalaman membawa kekalahan.

“Kalau kita bersatu, kita jadi kuat. Kalau kita berpecah, musuh tidak perlu menyerang pun kita sudah tumbang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat ketika pelbagai parti politik ketika ini berdepan polemik dalaman termasuk isu perebutan kerusi dan perbezaan pendirian dalam kalangan pemimpin.

Dominic berkata, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada sokongan rakyat semata-mata, sebaliknya turut ditentukan oleh tahap kesepakatan dan disiplin dalam organisasi.

Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan dalam kalangan ahli dan pimpinan perlu dipertahankan bagi memastikan parti terus relevan serta mampu menghadapi cabaran politik semasa.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang dilemparkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung beberapa isu termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, krisis politik Negeri Sembilan serta dakwaan kelemahan jentera pilihan raya Bersatu yang dikatakan menjadi asas Pas mengkaji semula hubungan dengan parti itu.

Menurut kenyataan Biro Politik Bersatu, semua isu berbangkit sepatutnya diselesaikan secara musyawarah dalam PN, bukannya diperdebat secara terbuka kerana boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap parti dan gabungan berkenaan.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, yang didakwa melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Bercakap pada sidang media di Marang, Terengganu, Abdul Hadi menjelaskan ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan partinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast