Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah. Foto dari Facebook Kesultanan Pahang

KUANTAN – Seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam diseru agar terus memperkukuh perpaduan dan menghayati simbol pengorbanan, keikhlasan serta kekuatan ukhuwah sesama umat Islam di negara ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian dalam Titah Perutusan Aidiladha 2026 hari ini.

Dalam titah berkenaan, baginda bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.

“Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan.

“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, saya menyeru agar seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini, terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah, perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan.

Justeru, dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, baginda menyeru agar seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini, terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat.

“Seperti mana yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menerusi Perutusan Aidiladha 2026 yang menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama.

Al-Sultan Abdullah turut berharap agar seluruh rakyat di negeri ini sentiasa memelihara adab, memperkukuhkan semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.

“Pada kesempatan ini juga, saya bersama Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik, memperoleh haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast