KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan penganjuran di peringkat Parlimen Pandan pada tahun lepas, Karnival Belia MADANI 2026 kini dibawa ke Parlimen Padang Rengas yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 29 Mei hingga 1 Jun depan.
Bertempat di Dataran Tun Perak di Padang Rengas, karnival berkenaan bakal menyajikan pelbagai pengisian menarik yang berteraskan elemen belia, sukan, komuniti, keusahawanan serta hiburan.
Pengarah Program, Harith Razlan Razali berkata, program dengan kerjasama rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dijangka mampu menghimpunkan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti inklusif yang menyasarkan penglibatan semua lapisan umur.
“Karnival ini dianjurkan bersama Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas (KOMRAT), Pertubuhan Generasi Penggerak Kebangsaan (Genk), Rasa Fusion Food Fest serta Persatuan Usahawan Inovatif & Kreatif (Pernova),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Harith Razlan, antara tarikan utama karnival kali ini ialah pelancaran rasmi Sukan Belia Rengas (SUKBEL RENGAS), iaitu sebuah platform kejohanan yang bakal mempertandingkan 10 jenis sukan.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai medium penting untuk mencungkil bakat baharu, memupuk semangat kesukanan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan belia di kawasan berkenaan.
Selain itu, acara sukan permotoran “Dyno Battle” yang menampilkan persaingan jentera berprestasi tinggi turut dijangka menjadi tumpuan utama, khususnya bagi peminat automotif dari seluruh kawasan sekitar.
Pihak penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti lain sepanjang karnival termasuk sukaneka, pertandingan mewarna, reruai jualan usahawan dan agensi kerajaan, aktiviti komuniti serta persembahan pentas dan program interaktif untuk seisi keluarga.
Program kali ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang dijadualkan hadir bagi memberi sokongan sekali gus menyantuni para belia dan komuniti setempat.
Bagi memeriahkan lagi suasana, karnival ini turut menampilkan kolaborasi bersama Rasa Fusion Food Fest yang akan mengadakan sesi ujian rasa makanan (food test).
Slot khas ini bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati dan menilai pelbagai variasi menu gabungan unik (fusion) yang disediakan oleh usahawan makanan tempatan.
Pihak penganjur berharap penganjuran karnival itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan belia yang lebih aktif, progresif dan berdaya saing, selain mengeratkan hubungan antara belia dan komuniti melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival berkenaan serta menyaksikan pelancaran SUKBEL RENGAS, yang disasarkan menjadi antara acara sukan belia terbesar di Parlimen Padang Rengas. – MalaysiaGazette















