Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menyampaikan khutbah Arafah di Makkah, hari ini.

ARAFAH – Ibadah haji mengajar manusia bahawa kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan jiwa, watak dan akhlak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Hasan ketika menyampaikan Khutbah Arafah berkata, ibadah haji seolah-olah teguran kepada manusia agar terlalu mudah berpecah, cepat bermusuhan dan terlalu sibuk mempertahankan kelompok masing masing sehingga terlupa bahawa persaudaraan jauh lebih besar daripada perbezaan.

Menurutnya, ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke Tanah Suci, tetapi medan tarbiah yang mendidik manusia supaya bersifat tawaduk, sabar, berdisiplin serta menjauhi sifat sombong dan perpecahan.

Bahkan, segala amalan haji juga mengajar bahawa kemuliaan manusia terletak pada takwa, akhlak dan hubungan baik sesama manusia,” katanya hari ini.

“Lebih daripada itu, haji juga digambarkan sebagai suatu perjalanan perdamaian. Di Tanah Haram, manusia meninggalkan seketika pangkat, harta dan segala tanda kemegahan. Yang tinggal hanyalah seorang hamba di hadapan Tuhannya.

“Segala pantang larang yang disyariatkan ketika ihram dan semasa berada di Tanah Suci sebenarnya adalah suatu medan pendidikan dan pedoman, kata beliau dalam khutbah tersebut.

Begitu juga, manasik lain seperti melontar di jamrah, merupakan suatu simbolik untuk membuang serta melempar segala perangai buruk yang sekian lama bersarang dalam diri, terutama sekali yang mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Bak kata pujangga Za’ba, amal ibadat itu tidak hanya bermaksud untuk kerja-kerja akhirat atau persiapan mati sahaja, akan tetapi merangkumi tujuan membaiki akhlak, membaiki laku perangai, membaiki kelakuan hidup atau sesuatu yang mengelokkan sifat-sifat keperangaian dan budi pekerti.

Zulkifli menambah, akhlak yang diajar dalam haji juga bukan sekadar hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan sesama manusia termasuk hubungan dengan alam.

“Inilah asas penting masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Ibadat haji yang merupakan madrasah tarbiah telah mengajar, mendidik dan menanam nilai karamah insan, prinsip keadilan dan kesaksamaan, erti toleransi dan empati, saling membantu dan saling menyayangi tanpa prejudis dan diskriminasi, mendidik manusia membina jiwa rabbani dan kekuatan rohani,” tambah beliau.

Dalam khutbah itu, beliau juga mengingatkan bahawa masyarakat yang sejahtera hanya dapat dibina melalui keadilan, persaudaraan, toleransi dan akhlak yang baik sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam Khutbah Wada’.

Oleh itu, umat Islam diseru memelihara maruah, amanah, institusi keluarga dan menjauhi perpecahan serta sifat taksub.

Pada masa sama, Zulkifli turut mengajak jemaah memperbanyakkan doa dan taubat di bumi Arafah dengan harapan memperoleh keampunan Allah SWT serta dikurniakan haji yang mabrur dan menjalani kehidupan yang lebih baik selepas kembali ke tanah air.

“Sebagaimana yang dihuraikan oleh Iman Yusuf al-Qaraḍāwī, seorang Muslim yang menunaikan haji dengan penuh keikhlasan, maka dia seolah-olah diberi peluang membuka lembaran yang baharu bersama Tuhannya, pulang dengan jiwa yang lebih bersih, hati yang lebih ringan dan arah hidup yang lebih jelas, bahkan “dia kembali daripada dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.

“Dia seolah-olah dilahirkan semula, dalam keadaan suci daripada dosa dan dibersihkan daripada kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast