Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa polis mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket along susulan ramai mangsa didakwa masih hidup dalam ketakutan walaupun laporan polis sudah dibuat.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada mangsa yang mendakwa mereka terus menerima ancaman dan ugutan daripada pemungut hutang walaupun kes sudah dirujuk kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, kebanyakan mangsa bukan sahaja diganggu melalui panggilan telefon dan mesej berterusan, malah ada yang berdepan tindakan agresif seperti rumah disimbah cat serta ancaman terhadap ahli keluarga.

“Mangsa hidup dalam ketakutan kerana gangguan dan ugutan masih berlaku walaupun laporan polis telah dibuat. Ada yang mendakwa rumah disimbah cat dan keluarga turut menjadi sasaran pemungut hutang.

“Keadaan ini memberi tekanan emosi yang sangat besar kepada mangsa sehingga ada yang trauma dan takut untuk menjalani kehidupan harian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila terdapat pengadu mendakwa tiada perkembangan siasatan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat yang mengendalikan kes mereka.

Katanya, ada antara mangsa sudah menghubungi pegawai penyiasat melalui surat rasmi dan aplikasi WhatsApp bagi mengetahui status kes, namun dakwa mereka, pertanyaan itu tidak dijawab.

“Apabila tiada tindakan atau maklum balas diberikan, mangsa merasakan hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk mendapat perlindungan seolah-olah dinafikan.

“Sekiranya pegawai penyiasat tidak memberi maklum balas, maka ketua polis daerah perlu tampil memberi penjelasan bertulis mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan,” dedah beliau.

Hishamuddin berkata, berdasarkan Kanun Tatacara Jenayah, MHO juga bersedia membawa perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara sekiranya tiada respons sewajarnya diberikan terhadap aduan mangsa.

Dalam masa sama, beliau mengakui masih ramai pegawai penyiasat yang komited dan serius dalam menjalankan tugas membanteras kegiatan along.

“Kami puji tindakan pantas pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Kinabalu, IPD Johor Bahru Selatan dan IPD Iskandar Puteri yang berjaya menyelesaikan kes serta membuat tangkapan dengan cepat selepas laporan diterima.

“Tindakan seperti ini penting supaya mangsa tidak terus hidup diburu ketakutan akibat ancaman sindiket along,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast