KAJANG – Polis akan memanggil seorang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengenai institusi diraja dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, keterangan daripada pakar tersebut perlu bagi membolehkan pihak polis mendapatkan pandangan berhubung isu itu.
Proses rakaman akan dilaksanakan 3 Jun ini, katanya.
“Kita akan merakam percakapan seorang pakar Perlembagaan Persekutuan bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/19/kuasa-raja-adalah-terhad-kata-tony-pua/
Dalam pada itu, Kumar memaklumkan, pihaknya menerima 120 laporan berhubung isu tersebut dengan 95 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Tony diambil keterangan kira-kira 40 minit pada Khamis lalu bagi rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Ia susulan kenyataan pemimpin DAP itu yang didakwa menyentuh isu sensitif dengan menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu, susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.-MalaysiaGazette
















