KUALA LUMPUR – Seramai 30 orang belia Orang Asli lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari beberapa buah negeri menyertai program Orang Asli Youth Forum 2026 yang berlangsung di The Cube, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) pada 12 Mei lalu.
Program tersebut dianjurkan oleh Global Peace Foundation Malaysia dengan kerjasama FSSS Universiti Malaya sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuhkan pembangunan belia Orang Asli melalui pendidikan, pembangunan diri dan jaringan komuniti.
Program itu diadakan sempena Orang Asli Youth Exposure Trip to Kuala Lumpur dan bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai dunia pendidikan tinggi, peluang kerjaya serta pengalaman kehidupan kampus.
Selain peserta utama yang terdiri daripada belia Orang Asli lepasan SPM, program tersebut turut melibatkan mahasiswa UM, ahli Persatuan Antropologi dan Sosiologi (ANSOS) sebagai urus setia dan fasilitator, serta beberapa tetamu jemputan daripada pelbagai organisasi.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti termasuk forum bersama tokoh masyarakat Orang Asli dan akademik, bengkel pembangunan diri dan kepimpinan, lawatan kampus UM serta sesi jaringan bersama pelajar Orang Asli UM sendiri.
Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, FSSS UM, Dr. Asbah Razali, program seperti ini penting dalam membuka ruang kepada belia Orang Asli untuk melihat pendidikan tinggi sebagai sesuatu yang lebih dekat dan boleh dicapai.
“Ramai dalam kalangan peserta mungkin tidak pernah merasai sendiri suasana universiti sebelum ini. Apabila mereka hadir ke kampus, berjumpa mahasiswa Orang Asli dan mendengar pengalaman daripada tokoh yang berjaya, ia dapat membantu membina keyakinan dan aspirasi mereka untuk melanjutkan pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap agar program tersebut dapat dijalankan secara berterusan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti, NGO dan komuniti Orang Asli dalam usaha memperkasa pendidikan secara lebih inklusif dan mampan.

Sementara itu, CEO Global Peace Foundation Malaysia, Dr. Teh Su Thye berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai pendidikan tinggi, tetapi juga membantu peserta memahami identiti dan potensi diri mereka sendiri.
“Kami berharap peserta bukan sahaja memperoleh maklumat tentang peluang pendidikan, tetapi juga lebih berani bertanya, berkongsi pandangan dan membina keyakinan untuk merancang masa depan mereka,” ujarnya.
Antara pengisian utama program ialah sesi forum yang menampilkan beberapa tokoh dan individu berpengalaman dalam isu berkaitan komuniti Orang Asli seperti Dr. Colin Nicholas, Ita Bah Nan, Dr. Kamal Solhaimi Fadzil, Dr. Suria Selasih Angit, Mahat A/L Cina (Akiya), Jenita Engi dan Clive Allen Williams-Hunt.
Melalui sesi tersebut, peserta didedahkan kepada pelbagai perspektif berkaitan pembangunan komuniti, pendidikan dan cabaran sosial yang dihadapi masyarakat Orang Asli di Malaysia.
Selain sesi forum, lawatan sekitar kampus UM turut menjadi antara pengalaman menarik bagi peserta.
Mereka dibawa melihat suasana pembelajaran di universiti serta berpeluang berinteraksi secara lebih dekat dengan mahasiswa Orang Asli yang sedang melanjutkan pengajian di UM.
Pendekatan seperti ini membantu peserta memahami realiti kehidupan kampus dengan lebih jelas dan tidak hanya bergantung kepada gambaran melalui media sosial atau cerita daripada orang lain.
Secara keseluruhannya, Orang Asli Youth Forum 2026 memperlihatkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperluaskan akses pendidikan dan pembangunan diri kepada komuniti Orang Asli.
Lebih daripada sekadar program motivasi, forum ini menjadi platform untuk membina keyakinan, memperkukuhkan jaringan sokongan dan membuka ruang kepada peserta untuk melihat pendidikan tinggi sebagai satu laluan yang realistik untuk masa depan mereka. – MalaysiaGazette















