KUALA LUMPUR – Kesemua 14 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama seluruh Jawatankuasa Cabang PKR Kelantan kekal utuh, istiqamah dan tidak berbelah bahagi dalam memberikan taat setia serta sokongan penuh kepada Presiden, Dato Seri Anwar bin Ibrahim.
Setiausaha PKR negeri, Rahim Hasan berkata, PKR Kelantan juga menegaskan bahawa tiada mana-mana pimpinan cabang atau anggota jawatankuasa negeri itu yang mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Ujarnya, Bersama bukan parti pilihan ahli-ahli PKR Kelantan dan tidak sesekali akan menggugat kesetiaan mereka kepada perjuangan PKR.
“Bagi kami, perjuangan reformasi yang dibawa Keadilan sejak sekian lama bukan perjuangan bermusim dan bukan juga perjuangan yang boleh digadai hanya kerana perbezaan pandangan politik semasa.
“Kesetiaan kepada parti dan kepimpinan merupakan asas penting dalam memperkukuhkan perjuangan demi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, di bawah kepimpinan Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Suparadi Md Nor, PKR Kelantan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkemaskan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kami yakin dengan kesatuan saf kepimpinan, semangat perjuangan serta dokongan akar umbi yang terus kukuh, Keadilan Kelantan akan terus mara ke hadapan dalam usaha membawa perubahan dan seterusnya merealisasikan misi menawan Negeri Kelantan dengan keizinan Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, beberapa ahli dan pemimpin PKR mengumumkan peletakan jawatan masing-masing antaranya di Sabah dan Shah Alam, Selangor bagi menyertai parti Bersama yang disertai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli. – MalaysiaGazette
















