KUALA LUMPUR – Harga RON97, RON 95 (tanpa subsidi) dan diesel di Semenanjung masing-masing turun 20 sen, 15 sen dan 10 sen seliter bagi tempoh 28 Mei-3 Jun 2026.
Mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 turun sebanyak 20 seliter menjadikannya RM4.65; manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.92 seliter.
Harga diesel di semenanjung turut jatuh 10 sen kepada RM4.87 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, kejatuhan harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
“Namun begitu, penurunan ini tidak menandakan tekanan pasaran petroleum global telah reda kerana ketidaktentuan pasaran susulan konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih 12 minggu masih berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa yang sama, Kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM784.
Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.
Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.
Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. -MalaysiaGazette
















