HYDERABAD – Pakistan memberi amaran supaya konflik di Asia Barat tidak berpanjangan, dengan berkata ia boleh membahayakan “aturan antarabangsa yang sedia rapuh.”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa bahawa Pakistan secara konsisten berpegang kepada pendirian supaya semua pihak menahan diri dan meredakan ketegangan dalam krisis membabitkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
“Sebagai jiran Iran yang bersahabat, negara yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan negara-negara Teluk, serta sebuah negara yang menjalin hubungan persahabatan sejak sekian lama dengan Amerika Syarikat, Pakistan secara konsisten berpendirian supaya semua pihak menahan diri, meredakan ketegangan dan kembali kepada diplomasi,” katanya pada debat terbuka peringkat menteri bertajuk “Maintenance of International Peace and Security: Upholding the Purposes and Principles of the UN Charter and Strengthening the UN-centered International System.”
Mengenai usaha pengantaraan negaranya dalam proses damai Iran-AS, Dar menegaskan bahawa jalan ke hadapan terletak pada diplomasi.
“Satu lagi konflik yang berpanjangan tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Ia akan membahayakan keamanan serantau, mengganggu aliran tenaga global, memburukkan penderitaan kemanusiaan dan memberi tekanan kepada aturan antarabangsa yang sedia rapuh.
“Kami telah berusaha sedaya upaya bagi memudahkan penyelesaian mampan yang membawa kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini, serta memastikan laluan maritim kekal dibuka untuk semua,” kata beliau.
Bagaimanapun, ketegangan berterusan di rantau itu, manakala Israel dan penyokongnya di AS secara provokatif menggalakkan serangan ketenteraan baharu ke atas Iran.
Pakistan mengucapkan terima kasih kepada China, Arab Saudi, Mesir, Turkiye dan Qatar kerana menyokong diplomasi negara itu ke arah perjanjian damai Iran-AS.
“Seluruh dunia sedang memerhati — kita mesti berjaya demi kepentingan keamanan dan keselamatan serantau serta global,” kata Dar.
Menteri Luar Pakistan itu turut menyeru supaya multilateralisme dan sistem PBB diperkukuh.
“Sistem antarabangsa berteraskan PBB hanya boleh diperkukuh melalui konsistensi, kesaksamaan dan penghormatan terhadap undang-undang.
“Multilateralisme tidak boleh bermaksud pengurusan hal ehwal global oleh segelintir pihak. Ia mesti bermaksud penyertaan, suara dan maruah untuk semua,” katanya. – BERNAMA
















