KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil menjawab dakwaan kononnya beliau membeli Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada harga RM8.5 juta seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Rafizi, dakwaan tersebut adalah fitnah yang sengaja dimainkan oleh cybertrooper kerajaan dan turut dijaja oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi memburukkan imej parti baharu itu.
“Jangan bimbang, kita serahkan kepada Allah. Adalah balasan kepada mereka satu hari nanti,” katanya menerusi satu hantaran video di media sosial hari ini.
Awal hari ini, MIPP menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhada Fahmi selepas Menteri Komunikasi itu mendapat kritikan kerana didakwa menyebarkan berita tidak tepat mengenai Parti Bersama.
Menegaskan kontroversi berhubung isu itu telah mendedahkan ‘kemunafikan’ kerajaan dalam memerangi berita palsu dan maklumat salah, kata Ketua Penerangan MIPP, Justin Prabakaran sambil memberi amaran bahawa jika tiada tindakan diambil terhadap Fahmi ia akan menjejaskan persepsi orang ramai.
Dalam hantaran sama, Rafizi berkata, pengasas Bersama yang dikenali sebagai Mr Tan menyerahkan parti itu kepada beliau dan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan harapan ia mampu menjadi wadah perjuangan rakyat biasa.
“Mr Tan, pengasas Bersama menangis masa serahkan parti ini kepada kami. Dia hanya minta jaga Bersama baik-baik dan supaya ia boleh bela rakyat biasa lebih baik dari yang dia mampu buat sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mengakui Bersama mungkin menerima nasib sama seperti beberapa parti kecil lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) namun menegaskan perjuangan parti itu bukan semata-mata mengejar kuasa politik.
“Bersama akan jadi seperti Pejuang, Muda, PSM – menang kalah itu ketentuan Allah. BERSAMA tidak meletakkan kuasa dalam masa terdekat sebagai sasaran.
“Saya dan Nik buat keputusan lepaskan segala-galanya supaya ada satu platform politik yang sesuai untuk golongan rakyat biasa yang berfokus kepada masa depan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keahlian Bersama kini sudah melepasi 20,000 orang seperti yang dijangkakan selain mendakwa parti itu mahu membawa politik baharu yang lebih memihak kepada rakyat marhain.
“Kita ingin rintis Malaysia yang lebih berdaya maju untuk orang biasa, melawan kelas-kelas berkepentingan.
“Selama ini, parti politik bertukar ganti tetapi tak ramai yang berani melawan kelas-kelas berkepentingan. Akhirnya, sistem tetap sama,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi bersama Nik Nazmi akan turun ke seluruh negara bagi memperkenalkan 12 Agenda Bersama termasuk menjelaskan dasar dan hala tuju parti kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir seorang profesor madya dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sebelum ini mengkritik Bersama.
“Kalau ada profesor madya dari UUM yang awal-awal hentam, ada baiknya dia ikuti jelajah ini supaya dia boleh bandingkan ketelitian kami membangunkan setiap dasar, banding pula dengan manifesto-manifesto parti lain.
“Barulah adil dan layak dipanggil profesor madya,” sindirnya.
Rafizi turut mengumumkan aplikasi ‘Kancil’ yang dibangunkan Bersama dijangka siap hujung Jun bagi mengurus keahlian, jentera dan kempen pilihan raya di peringkat Parlimen, selain membuka peluang kepada semua ahli untuk menjadi calon tanpa perlu mempunyai hubungan dengan pimpinan tertinggi parti. – MalaysiaGazette
















