Tangkap layar menunjukkan mangsa terjatuh dari jejambat dipercayai akibat terlanggar lubang.

SEBERANG PERAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaksanakan kerja penurapan semula jalan secara menyeluruh susulan keadaan jalan berlubang yang didakwa semakin membimbangkan di beberapa lokasi sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan menerusi surat rasmi kepada MBSP sebelum insiden seorang lelaki terjatuh dari jejambat selepas motosikal ditunggangnya dipercayai melanggar lubang berhampiran Masjid Al Muhajirin di sini semalam.

“Kita telah menghantar surat rasmi kepada MBSP pada 20 Mei lalu bagi meminta tindakan segera dilakukan terhadap masalah jalan rosak di kawasan yang dikenal pasti.

“Antaranya, Jalan Todak dari bulatan ke Pasar Seberang Jaya, Taman Siakap, Jalan Taman Tun Hussein Onn dan lain-lain yang mana kami telah lampirkan dalam surat rasmi berkenaan.

Izhar Shah.

“Jadi MBSP dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak boleh hanya bertindak berdasarkan aduan atau selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya kerja penyelenggaraan jalan perlu dilakukan secara proaktif dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada beberapa lubang yang sudah ditampal masih terdapat banyak kerosakan lain kerana lubang-lubang tersebut muncul pada waktu berbeza.

“Disebabkan itu, jalan di beberapa lokasi yang dikenal pasti memerlukan kerja penurapan semula secara menyeluruh dan bukan sekadar tampalan sementara,” katanya.

Semalam, tular rakaman kamera papan pemuka berdurasi 16 saat memaparkan mangsa menunggang motosikal dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh dari jejambat.

Dalam kejadian kira-kira 4.35 petang itu, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tangan dan paha selain dilaporkan masih menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Seberang Jaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast