KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penghentian mengejut tayangan filem Konspirasi selepas kira-kira seminggu ditayangkan.
Karya itu dilaporkan menerima sokongan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta dikaitkan dengan program komunikasi integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, berdasarkan semakan awal, filem berkenaan dilaporkan menerima sokongan dan dana FINAS menerusi inisiatif Film In Malaysia Incentive (FIMI) selain turut dikaitkan dengan sokongan institusi SPRM melalui tayangan dalaman dan program komunikasi integriti agensi itu.
Menurut beliau, situasi tersebut menimbulkan persoalan besar memandangkan filem berkenaan membawa mesej pendidikan antirasuah dan nilai integriti kepada masyarakat.
“Sekiranya filem ini mempunyai nilai pendidikan antirasuah, membawa mesej integriti dan boleh menjadi medium kreatif untuk menyedarkan rakyat tentang bahaya rasuah, mengapa tayangannya dihentikan secara mendadak?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, filem Konspirasi yang baru mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 Mei lalu dilaporkan dihentikan tayangan secara serta-merta, sekali gus mencetuskan kejutan dalam kalangan peminat dan penggiat industri.
FINAS mengesahkan, pemberhentian tayangan filem berkenaan i di pawagam adalah keputusan pihak penerbit, bukan disebabkan sebarang sekatan atau arahan pihak lain.
Mengulas lanjut Jais berkata, MCW tidak membuat sebarang tuduhan bahawa wujud ‘tangan ghaib’ atau campur tangan tidak rasmi daripada mana-mana pihak berhubung isu itu.
Jelasnya, dalam isu yang melibatkan karya bertemakan rasuah, institusi awam, persepsi kuasa dan kepentingan besar, sebarang kekosongan maklumat hanya akan membuka ruang kepada spekulasi.
“Jika benar keputusan ini dibuat oleh pihak penerbit semata-mata maka penjelasan rasmi yang lebih menyeluruh wajar diberikan.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada penghentian ini berpunca daripada faktor komersial, teknikal, undang-undang, sensitiviti kandungan, tekanan pihak tertentu atau sebab-sebab lain,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan filem seperti Konspirasi sepatutnya dijadikan sebahagian daripada medium pendidikan awam dalam usaha memerangi rasuah.
“Apabila sebuah karya antirasuah dihentikan secara mengejut, mesej yang sampai kepada masyarakat menjadi kabur.
“Ketelusan mesti mengatasi spekulasi. Jika tiada apa yang disembunyikan, maka tiada sebab rakyat dibiarkan tertanya-tanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















