KUALA LUMPUR – Galeri Buku Pilihan Malaysia Madani yang diperkenalkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menjadi platform untuk masyarakat mengenali corak pemikiran pemimpin negara menerusi bahan bacaan yang mereka minati.
Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, Mohd. Khair Ngadiron berkata, idea mewujudkan galeri berkenaan dicetuskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mencadangkan supaya pemimpin negara berkongsi buku pilihan mereka kepada masyarakat.
Menurut beliau, buku yang dibaca seseorang pemimpin mampu membentuk pola pemikiran dan pendekatan kepimpinan mereka.
Galeri berkenaan menghimpunkan pilihan buku daripada beberapa pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan serta Menteri Pendidikan Tinggi.
Tambah beliau, pemilihan tokoh terbabit dibuat berdasarkan peranan mereka dalam menjayakan PBAKL selain penglibatan dalam sektor pendidikan dan perpaduan negara.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak perlu dipersoalkan, mereka antara yang penting. Menteri Pendidikan dan Menteri KPT adalah menteri yang menjaga Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Menteri Perpaduan pula kerana menjaga Perpustakaan Negara Malaysia dan kita juga ada Menteri Besar Selangor kerana ada Kompleks Karangkraf dan juga Menteri Besar Pahang kerana Pahang adalah negeri tamu tahun ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
PBAKL 2026 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Mohd. Khair berkata, galeri tersebut diharap dapat menarik minat masyarakat untuk membaca selain menjadikan kepimpinan negara sebagai contoh teladan dalam membudayakan ilmu.
“Kita mahu menarik masyarakat supaya rajin membaca dan yang paling baik adalah kepimpinan melalui teladan bagaimana pemimpin kita memilih buku yang mereka baca,”katanya. – MalaysiaGazette















