SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan mengesahkan pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebelum ini didakwa tidak menerima tempat dalam program Matrikulasi sebenarnya telah menerima tawaran ke program berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menarik balik dua kenyataan media terdahulu yang dikeluarkan berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada orang ramai.
Preakas berkata, perkara itu disahkan selepas beliau menerima maklumat terkini mengenai status sebenar pelajar terbabit.
“Saya telah dimaklumkan dan disahkan bahawa pelajar berkenaan sebenarnya telah menerima tawaran ke program Matrikulasi.
“Sehubungan itu, kenyataan-kenyataan terdahulu yang dikeluarkan berkaitan perkara ini ditarik semula bagi mengelakkan sebarang kekeliruan lanjut kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Pendidikan serta agensi berkaitan yang tampil memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pelajar yang layak mendapat peluang melanjutkan pengajian wajar dihargai.
Preakas berkata, sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk menyuarakan kebimbangan masyarakat khususnya membabitkan masa depan pendidikan anak-anak muda.
Namun, katanya, setiap maklumat yang diterima juga perlu diperbetulkan apabila fakta sebenar telah diperjelaskan.
“Saya akan terus komited memperjuangkan ketelusan, keadilan serta peluang pendidikan yang saksama untuk semua pelajar di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, isu membabitkan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM tetapi didakwa tidak menerima tempat dalam program Matrikulasi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Namun, semakan lanjut mendapati pelajar berkenaan sebenarnya telah menerima tawaran ke Kolej Matrikulasi Selangor selain daripada biasiswa Petronas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelajar 11A gagal ke matrikulasi, ADUN Kota Kemuning minta penjelasan KPT















