Orang ramai merakam tren LRT laluan Ampang/ Sri Petaling yang tergelincir semasa melalui suis landasan yang rosak di Stesen Chan Sow Lin menyebabkan gangguan perkhidmatan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Empat gerabak tren Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin minggu lalu berjaya dinaikkan semula ke landasan dan dibawa ke depot untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut oleh pasukan teknikal Rapid KL.

Rapid KL menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan,  kerja pemulihan yang dijalankan semalam hingga awal pagi tadi melibatkan proses penyambungan antara gerabak tren dan kenderaan trek khas bagi membolehkan pergerakan keluar dilakukan secara selamat dan terkawal.

Menurut syarikat pengendali pengangkutan awam itu, usaha pemulihan kini sedang giat dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh terdekat.

“Gerak kerja sedang giat diteruskan demi memastikan perjalanan yang selamat lagi selesa buat penumpang dapat dikembalikan secepat mungkin,” katanya.

Khamis lalu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan, sekali gus menjejaskan jadual perkhidmatan tren di laluan berkenaan.

Susulan kejadian itu, pasukan teknikal menjalankan operasi pemulihan termasuk menaikkan semula gerabak yang terkeluar dari landasan sebelum membawanya ke depot untuk pemeriksaan terperinci.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.

Beliau berkata, semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi menggunakan jadual perkhidmatan yang diubah suai bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang kerja-kerja pemulihan dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast