KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Belungkor-Felda Sungai Sening di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku pukul 9.13 pagi yang melibatkan kereta jenis Proton Persona dan motosikal jenis Aveta Dayang DY90.
“Kereta tersebut dipandu lelaki warga tempatan berumur 73 tahun manakala motosikal tersebut ditunggang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit terbabas dan masuk laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang, Mohd Zulkifli Md Hashim mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, jenazah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Jelas beliau, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette
















