Gambar hiasan

Oleh Ismail Hashim 

 SELEPAS lebih 43 kali dianjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) telah bergerak jauh daripada sekadar pesta jualan buku tahunan dan kini berkembang sebagai sebuah institusi budaya dan medan tamadun ilmu yang semakin penting dalam lanskap geopolitik, budaya dan perkembangan intelektual Malaysia.

Dalam dunia yang sedang berubah akibat ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan struktur ekonomi global, PBAKL tidak lagi boleh dilihat sekadar ruang komersial bagi penerbit, pencetak dan pembaca.

Sebaliknya ia semakin membentuk dirinya sebagai pusat pengembangan ilmu, pertemuan pelbagai tamadun dan tapak pembinaan naratif baharu tentang masa depan Malaysia dalam dunia multipolar.

Sejak awal penganjurannya, PBAKL memainkan peranan penting dalam membina budaya membaca dan mengembangkan industri penerbitan negara.

Jutaan buku diterbitkan, lahir ramai penulis popular, lagenda dan intelektual manakala masyarakat diperkenalkan dengan pelbagai bentuk pemikiran, kesusasteraan, agama, sejarah, ekonomi, pendidikan, sains dan pelbagai ilmu pengetahuan.

Namun selepas lebih empat dekad, persoalan yang semakin penting bukan lagi berapa banyak buku terjual atau berapa ramai pengunjung hadir setiap tahun tetapi apakah bentuk tamadun ilmu yang sedang dibina melalui gerakan budaya ini.

Dunia hari ini sedang memasuki satu fasa yang sering disebut sebagai era pascanormal iaitu zaman yang dipenuhi ketidakpastian, kompleksiti dan perubahan yang sukar diramalkan.

Konflik geopolitik, perang ekonomi, perubahan teknologi dan krisis budaya berlaku serentak dalam satu sistem global yang saling berkait.

Dalam keadaan ini industri buku dan dunia penerbitan juga tidak lagi boleh dipisahkan daripada geopolitik dunia. Hubungan antara Selat Hormuz, China dan industri penerbitan Malaysia memperlihatkan bagaimana dunia ilmu sebenarnya bergerak dalam rangka ekonomi dan politik antarabangsa yang kompleks.

Sekatan atau konflik di Selat Hormuz boleh meningkatkan harga minyak dunia, yang seterusnya menaikkan kos logistik dan pengeluaran industri di China. Dalam masa yang sama, China menjadi pusat utama pengeluaran bahan percetakan global seperti kertas, dakwat, mesin cetak dan komponen teknologi penerbitan.

Pergantungan Malaysia kepada rantaian pengeluaran ini menunjukkan bahawa buku bukan sekadar hasil pemikiran manusia malah lebih jauh lagi sebagai produk kepada struktur ekonomi dunia. Kertas dan dakwat bukan lagi sekadar bahan fizikal bahkan sebagai simbol kepada pergantungan global dan hubungan kuasa antarabangsa yang menentukan bagaimana ilmu dihasilkan dan diedarkan.

Dalam konteks ini, PBAKL menjadi lebih daripada pesta buku. Ia boleh dibaca sebagai simbol kepada usaha Malaysia membina ketahanan budaya dan tamadun ilmu dalam dunia yang semakin dipengaruhi geopolitik dan teknologi. Buku bukan sekadar produk komersial tetapi medium pembentukan pemikiran, imaginasi dan identiti masyarakat. Sebuah masyarakat yang membaca sebenarnya sedang membina asas kepada tamadun masa depannya.

Namun cabaran besar muncul apabila dunia memasuki era digital dan AI. Kemunculan teknologi seperti ChatGPT dan Deepseek telah mengubah cara manusia mendapatkan maklumat dan memahami dunia. Generasi baharu hidup dalam budaya algoritma, video pendek, meme dan maklumat segera. Bacaan mendalam semakin dicabar oleh budaya skrol pantas yang mementingkan kepantasan berbanding renungan. Dalam keadaan ini, PBAKL berhadapan dengan persoalan besar tentang masa depan budaya membaca dan peranan buku dalam masyarakat digital.

Walau bagaimanapun, perubahan teknologi tidak semestinya membawa kepada kematian buku fizikal atau budaya membaca. Sebaliknya, ia membuka ruang kepada pembentukan tamadun ilmu baharu yang lebih hibrid. AI boleh membantu manusia mendapatkan maklumat dengan pantas tetapi pada masa yang sama manusia masih memerlukan buku untuk membina kedalaman pemikiran, imaginasi, nilai kemanusiaan dan kefahaman budaya. Teknologi menyediakan data, tetapi buku membantu manusia memahami makna di sebalik data tersebut.

Dalam konteks ini, PBAKL boleh menjadi ruang penting untuk melahirkan sintesis baharu antara teknologi moden dan tradisi ilmu. PBAKL tidak perlu memilih antara dunia digital dan buku fizikal namun boleh menghubungkan kedua-duanya dalam satu ekosistem budaya ilmu yang lebih luas. Buku cetak dan teknologi digital boleh bergerak seiring sebagai alat pembinaan tamadun masa depan.

Apa yang menjadikan PBAKL semakin penting ialah potensinya sebagai pusat pengembangan ilmu kepelbagaian tamadun dunia. Selama beberapa abad, dunia ilmu moden banyak dipengaruhi oleh kerangka Barat sama ada dalam bidang falsafah, sains sosial, teknologi mahupun sistem pendidikan. Universiti Barat, teori Barat dan epistemologi Barat menjadi pusat utama dalam menentukan arah perkembangan ilmu global. Namun dunia hari ini sedang bergerak ke arah multipolariti, bukan sahaja dari sudut ekonomi dan geopolitik tetapi juga dari sudut ilmu dan budaya.

Dalam dunia multipolar ini, PBAKL mempunyai peluang besar untuk menjadi pusat pertemuan pelbagai tradisi ilmu dunia. Malaysia sebagai negara yang berada di persimpangan tamadun Islam, Melayu-Nusantara, China, India dan Barat mempunyai kedudukan yang unik untuk memainkan peranan tersebut. PBAKL boleh menjadi ruang di mana ilmu daripada pelbagai tamadun dipertemukan secara seimbang tanpa didominasi oleh satu pusat epistemologi tunggal.

Ini bermaksud PBAKL tidak hanya memperkenalkan buku daripada tradisi Barat, lebih jauh lagi berpotensi membuka ruang besar kepada pemikiran Islam, falsafah Asia Timur, tradisi Nusantara, pengalaman Afrika dan naratif Global South. Dalam konteks ini, PBAKL menjadi simbol kepada demokratisasi ilmu dunia, iaitu keadaan di mana pengetahuan tidak lagi dimonopoli oleh satu tamadun sahaja.

Kehadiran beberapa negara lain dalam PBAKL setiap tahun memperlihatkan fungsi baharu pesta buku ini sebagai medan diplomasi budaya dan diplomasi ilmu. Kehadiran negara seperti Arab Saudi, China dan Iran menunjukkan bahawa PBAKL bukan sekadar acara penerbitan tetapi ruang pertukaran naratif dan pembinaan hubungan tamadun. Malaysia melalui PBAKL sedang menempatkan dirinya sebagai jambatan antara dunia Islam, Asia Timur dan Barat melalui budaya ilmu dan penerbitan.

Dalam konteks ini, PBAKL boleh dibaca sebagai pusat geo-naratif Malaysia dan Global South. Selama ini naratif dunia banyak dibentuk oleh kuasa Barat melalui media, universiti dan platform global mereka. Namun melalui PBAKL, Malaysia mempunyai peluang untuk membina naratifnya sendiri tentang dunia, tamadun dan masa depan manusia. Ini termasuk naratif tentang Islam yang sederhana, budaya Nusantara, hubungan antara teknologi dan kemanusiaan, serta masa depan dunia multipolar.

Peranan ini menjadi semakin penting dalam era AI dan globalisasi kerana dunia sedang berhadapan dengan krisis identiti, perang maklumat dan konflik budaya yang semakin kompleks. Negara yang mampu menguasai ilmu dan naratif akan mempunyai pengaruh budaya yang besar dalam dunia masa depan. Korea Selatan menggunakan budaya pop dan hiburan, Jepun menggunakan manga dan anime, manakala Barat menguasai platform digital global. Malaysia pula mempunyai peluang untuk menggunakan budaya ilmu dan tradisi intelektualnya sebagai asas pembinaan pengaruh budaya yang lebih matang.

Dalam keadaan ini, universiti dan pusat penyelidikan perlu memainkan peranan yang lebih besar bersama PBAKL. Budaya membaca yang dibina melalui pesta buku perlu disambungkan kepada budaya penyelidikan dan inovasi negara. Universiti tidak boleh hanya menjadi institusi pengeluaran graduan, tetapi mesti menjadi pusat penghasilan idea, penyelidikan dan teknologi yang mampu membantu negara membina tamadun sendiri.

PBAKL boleh menjadi ruang awal yang mencetuskan minat membaca, pemikiran kritikal dan budaya ilmu dalam masyarakat. Daripada budaya membaca ini lahirlah generasi penyelidik, saintis, penulis, ahli falsafah dan inovator masa depan. Dalam dunia yang semakin kompleks, negara memerlukan idea-idea hibrid yang menghubungkan pelbagai bidang ilmu seperti teknologi, falsafah, geopolitik, sastera dan sains kemanusiaan.

Masa depan tamadun tidak lagi boleh dibina secara terpisah antara sains dan kemanusiaan. Dunia memerlukan saintis yang memahami budaya, penulis yang memahami teknologi, ahli falsafah yang memahami AI dan pembuat dasar yang memahami geopolitik ilmu. Dalam konteks inilah PBAKL boleh berkembang sebagai “makmal tamadun” yang melahirkan dialog antara pelbagai disiplin ilmu dan tradisi pemikiran.

Kesimpulannya, PBAKL sedang bergerak ke arah peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar pesta jualan buku tahunan. Ia berpotensi menjadi pusat pengembangan ilmu kepelbagaian tamadun, medan diplomasi budaya, pusat geo-naratif Malaysia dan tapak pembinaan tamadun ilmu hibrid untuk masa depan.

Dalam dunia multipolar yang semakin kompleks, PBAKL menandakan bahawa Malaysia tidak lagi sekadar menjadi pengguna ilmu global, tetapi sedang berusaha menjadi pusat pertemuan pelbagai tradisi ilmu dunia.

Melalui pembacaan, penyelidikan dan dialog tamadun, PBAKL boleh membantu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai kedalaman budaya, kekuatan intelektual dan kemampuan membina masa depan tamadunnya sendiri. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast