KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam melaksanakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sedangkan pelbagai janji lain yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan masih belum ditunaikan.
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor minggu lalu yang mengaitkan beberapa pemimpin termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai penyokong pengiktirafan UEC menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kerajaan.
Menurutnya, Anthony Loke turut memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang berani melaksanakan tuntutan tersebut, namun perkara itu tidak seharusnya menenggelamkan pelbagai janji manifesto lain yang memberi kesan lebih besar kepada rakyat.
“Persoalannya, adakah pengiktirafan UEC merupakan janji paling penting dalam Buku Jingga dan Buku Harapan berbanding pelbagai janji lain yang masih belum dilaksanakan?
“Masih banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat belum ditunaikan, adakah golongan ini terlupa?
“Ini termasuk isu penghapusan tol, pendidikan percuma, pemansuhan pinjaman PTPTN serta usaha menangani kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sanjeevan berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan kedudukannya dalam usaha memerangi rasuah memandangkan terdapat individu yang dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan yang berdepan pelbagai dakwaan berkaitan isu integriti.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan prestasi ekonomi negara yang menurutnya masih berdepan cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup dan beban hutang negara.
“Rakyat masih menunggu pelaksanaan pelbagai janji yang pernah diangkat sebagai agenda utama ketika pilihan raya.
“Isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat seharusnya diberikan keutamaan. Ini sudah hendak masuk PRN dan PRU yang baru pula,” tegasnya.
Beliau mendakwa pengiktirafan UEC kini dijadikan sebagai agenda politik tertentu bagi meraih semula sokongan pengundi Cina, khususnya selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang menyaksikan prestasi kurang memberangsangkan parti berkenaan.
Sanjeevan turut mendakwa keputusan kerajaan untuk meneruskan pengiktirafan UEC dibuat dalam keadaan terdesak susulan tekanan politik daripada parti komponen dalam kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa PH memberi tumpuan kepada pelaksanaan janji-janji manifesto melibatkan kepentingan majoriti rakyat sebelum memperjuangkan isu yang disifatkannya lebih menjurus kepada kelompok pengundi tertentu.
“Penuhi dahulu janji-janji dalam Buku Jingga dan Buku Harapan yang memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat sebelum terlalu memberi tumpuan kepada agenda yang hanya melibatkan segmen pengundi tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















