KUALA LUMPUR – Label `pekak’ yang digunakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ceramah di Melaka malam tadi, bukan mengenai Pas.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia sebaliknya mungkin ditujukan kepada individu-individu tertentu yang sengaja tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu sebelum ini.
Selain itu, menurutnya, ia juga mungkin ditujukan kepada pihak yang gagal menyampaikan maklumat yang tepat mengenai keputusan-keputusan yang dibuat dalam Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).
Atau, ujar beliau, ia juga mungkin ditujukan kepada pihak yang menuduh dan memfitnah Bersatu dengan tuduhan dan fitnah yang berat.
“…yang menggunakan perkataan tidak sopan seperti berambus dan tidak amanah dalam melaksanakan janji-janji yang telah dibuat. Tapi ia bukan mengenai Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini yang menyifatkan sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi selepas pemimpin Bersatu di Melaka menyindir pihak yang mendakwa parti itu tiada jentera sebagai pekak.
Sehubungan itu, tambah Ahmad Fadhli, beliau secara peribadi mencadangkan jalan terbaik adalah untuk Pas dan Bersatu bergerak secara berasingan.
Ahmad Fadhli dipercayai merujuk kepada penularan video ceramah Mohamed Azmin di Melaka, malam tadi yang mengeluarkan label itu.
















