Lokasi kejadian.

SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga tempatan maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah traktor dan dua buah motosikal di Jalan Tali Air 11 Ban 1, Sungai Nibong, Sekinchan, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitenden Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal Modenas Kriss ditunggang dari arah Ban 2 menuju ke Ban 1 dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah traktor yang diparkir di bahu kiri jalan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di atas jalan. Pada masa sama, sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast