Pelancong mengguna Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi kemudahan pelepasan dengan lebih pantas p ada program Citra Negara ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis politik menyifatkan, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) masih berada di takuk lama menyebabkan urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara sekali lagi tergendala dua hari lalu.

Lim Sian See berkata, MyIMMs yang beroperasi bermula 1996, sepatutnya sudah lama disimpan di `muzium’, namun masih dipaksa bekerja sebagai tulang belakang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjaga sempadan negara.

Beliau yang juga pempengaruh media sosial berkata, lebih memalukan apabila sebuah portal berita negara jiran mengibaratkan sistem yang diguna pakai itu sama seperti era `Windows 95′.

“Akhirnya, media Singapura pun tulis tentang sistem imigresen usia 30 tahun era Windows 95 kita.

“Sebab berlaku lagi kesesakan manusia dan kenderaan selama lima jam di pintu masuk Malaysia akibat sistem imigresen kita rosak dua hari lalu.

“Lagi pedih, media Singapura boleh petik kenyataan bahawa sistem MyIMMs itu sudah berusia 30 tahun.

“Jadi masalah sebenar bukan sekadar `glitch‘. Masalah sebenar ialah 30 tahun sistem lama masih dipaksa hidup kerana projek ganti bertukar menjadi drama bersiri: dianugerah, dibatal, disaman, ditamatkan, dianugerah semula,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Dua hari lalu, sebuah portal berita Singapura melaporkan, puluhan ribu pengembara beratur panjang di semua pintu masuk di seluruh Malaysia selepas sistem imigresen sekali lagi mengalami gangguan besar kerana masalah teknikal.

Pegawai imigresen terpaksa bekerja keras untuk menguruskan kemasukan warganegara dan warga asing secara manual, selepas semua sistem berasaskan komputer tergendala selama lima jam, bermula pukul 4.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Menurut laporan itu, ia merupakan kegagalan sistem yang kedua dalam tempoh lebih sebulan, selepas kejadian serupa pada 23 April lalu, yang mengakibatkan ribuan orang terkandas selama dua jam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, menjelaskan, gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal di pusat data MyIMMs bermula sekitar 5 pagi, lapor akhbar The Star.

Sian See selanjutnya menyatakan, kerosakan yang berlaku menyebabkan ribuan individu tersekat dan menimbulkan kemarahan pelancong dan pekerja yang berulang-alik di kedua-dua negara.

Menurut beliau, Singapura akan mentertawakan negara ini kerana masih menggunakan sistem tua tahun 1996.

Beliau turut mempersoal mengapa sistem tersebut tidak diganti walhal pada 2017, projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) telah dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan MyIMMs, namun dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Disember 2018.

Pada 2021, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) pula dianugerah kepada IRIS Corp oleh kerajaan Pakatan Nasional (PN) untuk menggantikan MyIMMs.

“Namun pada Ogos 2023, kontrak NIISe IRIS pula ditamatkan oleh erajaan Madani dan pada Oktober 2024, kerajaan Madani anugerah NIISe kepada HeiTech Padu pula.

“Mei 2026, NIISe masih belum beroperasi sepenuhnya. Dan siapa yang masih bekerja? MyIMMs.

“Negara mahu jadi hab digital, tapi pintu masuk negara masih bergantung kepada sistem zaman Windows 95,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast