BIRMINGHAM – Menteri Luar Perancis pada Ahad menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Lubnan sebagai “amat membimbangkan” dan menyatakan bahawa Paris telah meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan bagi menangani situasi itu, lapor Anadolu Ajansi(AA).
Jean-Noel Barrot memberitahu saluran BFMTV bahawa beliau telah mengemukakan permohonan bagi mengadakan mesyuarat kecemasan UNSC yang memfokuskan kepada operasi ketenteraan Israel di Lubnan.
“Tiada apa yang boleh mewajarkan pelanjutan operasi ketenteraan di Lubnan serta pendudukan yang semakin meluas di wilayah negara berkenaan,” kata Barrot.
Beliau berkata tindakan Israel itu merupakan “satu kesilapan besar.”
Kenyataan itu mencerminkan kebimbangan Perancis yang semakin meningkat terhadap ketegangan serantau yang kian memuncak ketika Israel meneruskan aktiviti ketenteraannya melepasi sempadan Lubnan.
Barrot turut menggesa Iran dan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai persetujuan bagi mengurangkan ketegangan, dengan menyifatkan “situasi semasa sebagai tidak mampan.”
“Kesan daripada sekatan di Selat Hormuz dirasai setiap hari, sama ada di pam minyak mahupun secara umumnya menerusi impak terhadap ekonomi global serta ekonomi Perancis,” katanya.
Menteri Perancis itu berkata perancangan bagi misi yang bertujuan melindungi kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz masih dalam pertimbangan, dengan kerja-kerja perancangan kini di peringkat lanjutan dan perbincangan masih diteruskan bersama pihak Tehran serta Washington. – BERNAMA-ANADOLU
















