KUALA LUMPUR – Sembilan notis yang dikeluarkan ke atas peniaga yang terlibat di bawah pemeriksaan Ops Kesan 6.0 di Selangor hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, notis dikeluarkan sebagai langkah intervensi (fear factor) kepada peniaga agar berwaspada dan beretika dan tidak sesekali mengambil kesempatan susulan krisis tenaga global.
“Tindakan pemeriksaan selepas ini akan diteruskan dan diperluas di pelbagai peringkat rantaian perniagaan termasuklah pengeluar, pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sepanjang berkuat kuasa OPS KESAN 6.0 sehingga 31 Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Muhamad Hanif, KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan bagi individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk kesalahan kali pertama dan untuk kesalahan kali kedua denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat, denda RM500,000 untuk kesalahan kali pertama dan kesalahan kali kedua denda RM1,000,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.
OPS KESAN 6.0 sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan.
Justeru, pengguna Selangor yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga disarankan untuk menyalurkan aduan yang lengkap termasuk di WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan
Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette
















