KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2026 kepada seluruh warga TUDM.
Menerusi kenyataan di laman media rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan serta komitmen yang dicurahkan oleh seluruh pegawai dan anggota TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara serta menjamin keselamatan rakyat Malaysia.
“Baginda berdua turut menyanjung tinggi profesionalisme, keberanian dan dedikasi yang dipamerkan oleh warga TUDM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab, termasuk ketika berdepan pelbagai cabaran serta tugasan yang menuntut pengorbanan besar demi negara.
“Baginda berdua bertitah bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini tidak dapat dipisahkan daripada peranan serta kesiapsiagaan berterusan pasukan keselamatan negara, termasuk TUDM yang sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan tanah air,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru, katanya, baginda berdua mendoakan agar seluruh warga TUDM sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, keselamatan, kekuatan dan keberkatan dalam menjalankan tugas serta terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette.
















