KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa UMNO menjalankan siasatan secara serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pemimpin parti itu yang didakwa menampar seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas menghadiri program di Institut Latihan UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.
Menurut beliau, tindakan yang didakwa dilakukan oleh pemimpin berkenaan tidak seharusnya mencerminkan UMNO sebagai sebuah parti politik, lebih-lebih lagi apabila insiden tersebut melibatkan seorang mahasiswa dan berlaku di premis milik UMNO.
“Mahasiswa tidak patut dikasari sedemikian. Nik Alif Aiman dan mahasiswa lain perlu dihormati walau apa warna bendera politik dan kecenderungan mereka.
“Jika pemimpin UMNO berkenaan mempunyai maruah, beliau perlu membuat permohonan maaf kepada Nik Alif Aiman dan keluarganya sebagai tanda menyesali perbuatannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Nik Alif Aiman mendakwa ditampar oleh seorang pemimpin UMNO yang juga bekas Ahli Dewan Negara serta Ketua UMNO Bahagian selepas menghadiri program ceramah berkenaan.
Nik Alif yang juga cucunda kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kejadian itu berlaku sejurus selesai sesi bergambar selepas program tersebut ketika beliau bertegur sapa dengan pemimpin terbabit.
Menurutnya, seorang individu telah memperkenalkannya kepada pemimpin UMNO berkenaan sebagai cucu kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebelum berlaku perbualan ringkas berkaitan politik antara mereka.
Dakwa Nik Alif menerusi video penjelasan yang dimuat naik di TikTok, pemimpin berkenaan kemudiannya menampar pipi kirinya ketika perbualan itu berlangsung.
“Tamparan itu tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan, namun cukup untuk menyebabkan kepala saya bergerak,” dakwanya.
Bagaimanapun, pemimpin UMNO terbabit dilaporkan menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa beliau hanya menyentuh pipi Nik Alif sebagai tanda mesra.
Susulan kejadian itu, Nik Alif dilaporkan telah membuat laporan polis kerana berasa terhina dan mendakwa maruahnya tercalar memandangkan insiden berkenaan berlaku di hadapan ramai hadirin dalam sebuah majlis rasmi universiti. – MalaysiaGazette
















