AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang menggesa Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan kedudukan kerusi itu tidak lagi boleh dianggap sebagai kubu selamat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketuanya, Datuk Hasry Sham Chasemen berkata, usul supaya BN bertanding secara solo sudah dibawa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang dan akan diangkat ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan kepimpinan parti.
“Ampang ini memang menjadi rebutan bagi kedua-dua pihak sama ada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), dari zaman Datuk Zuraidah Kamaruddin hingga zaman Rodziah Ismail masih bermasalah.
“Saya lihat Ampang ini kononnya kerusi pasti menang majoriti dan berpihak kepada PKR.
“Kita kena ambil iktibar daripada insiden Tamil Nadu, India yang sebelum ini merupakan kawasan majoriti parti Dravida Munter Kazhagam (DMK) pun akhirnya tumbang ke tangan Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK).
“Jangan kita ingat Ampang ini adalah kerusi selamat bagi parti di pihak sana dan jika betul-betul mereka mahu menang, mereka buatlah kerja bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, di sini, baru-baru ini.
Menurut Hasry, meskipun Ampang sering dilihat sebagai kerusi yang memihak kepada PKR, perkembangan politik semasa menunjukkan landskap pengundian semakin berubah dan tidak boleh lagi dianggap sebagai kawasan yang selamat untuk mana-mana parti.
“Kita melihat bagaimana kerusi yang dianggap kubu kuat sesebuah parti sebelum ini boleh tumbang apabila rakyat membuat penilaian berdasarkan prestasi semasa. Ampang juga tidak terkecuali daripada perubahan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Hasry berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang sentiasa aktif mendekati rakyat menerusi pelbagai program kemasyarakatan walaupun tanpa peruntukan besar atau kedudukan sebagai kerajaan sepenuhnya.
“Program bantuan kepada mangsa kebakaran, golongan sakit, kebajikan masyarakat dan aktiviti pembangunan belia dilaksanakan secara berterusan hasil sumbangan ahli-ahli yang mempunyai kesedaran tinggi untuk membantu masyarakat.
“UMNO Ampang tidak pernah ketandusan program. Malah kita sentiasa berada di lapangan membantu rakyat walaupun dalam keadaan serba mencabar.
“Ramai ahli kita yang mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri menyumbang secara sukarela bagi memastikan aktiviti kebajikan dapat diteruskan,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa, kerjasama politik di Ampang dalam kalangan parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak berada pada tahap yang memuaskan.
Menurut Hasry, keadaan itu boleh memberi kesan kepada sokongan akar umbi sekiranya tidak ditangani dengan baik oleh kepimpinan tertinggi parti-parti terlibat.
“Jika kerjasama itu tidak berjalan dengan baik dan tiada kesepakatan yang jelas, ia boleh memberi kesan kepada kestabilan politik serta hala tuju parti di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengulas mengenai kemunculan parti-parti baharu serta perpindahan pemimpin politik ke parti lain, Hasry berpendapat perkara tersebut tidak akan memberi impak besar kepada pola sokongan pengundi bandar seperti di Ampang.
“Pengalaman lalu menunjukkan perpindahan tokoh-tokoh politik berprofil tinggi tidak semestinya membawa bersama sokongan pengundi secara menyeluruh.
“Politik bandar berbeza. Pengundi membuat keputusan berdasarkan pelbagai faktor termasuk prestasi dan kehadiran parti di lapangan, bukan semata-mata kerana individu tertentu,” katanya.
Hasry turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO mampu merampas semula Parlimen Ampang sekiranya diberi peluang untuk bertanding pada PRU-16 akan datang.
“UMNO sudah lama tidak bertanding di kerusi Parlimen Ampang selepas beberapa penggal diperuntukkan kepada parti komponen lain dalam BN.
“Sudah lebih satu dekad UMNO tidak bertanding di Ampang. Jadi tidak salah jika kali ini BN memberi peluang kepada UMNO untuk mewakili gabungan itu di kerusi Parlimen Ampang,” katanya.
Menyentuh isu pengundi muda, beliau berkata golongan itu kini lebih menumpukan perhatian kepada peluang ekonomi, pekerjaan dan peningkatan taraf hidup berbanding retorik politik semata-mata.
“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang terus berusaha menyediakan platform dan peluang kepada anak muda termasuk melalui kerjasama dengan syarikat swasta bagi mewujudkan tapak perniagaan dan peluang menjana pendapatan.
“Kita mahu anak muda mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik. Itu antara fokus utama kita ketika ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa semua parti komponen BN supaya mengetepikan sebarang perbezaan dan terus memperkukuhkan perpaduan demi menghadapi cabaran politik akan datang.
“Walaupun UMNO menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo, keputusan muktamad tetap terletak kepada Presiden UMNO dan kepimpinan tertinggi parti.
“Kita di peringkat akar umbi akan terus akur kepada keputusan pucuk pimpinan. Apa juga keputusan yang dibuat, Pemuda UMNO Ampang akan terus bekerja dan memastikan BN kekal relevan serta mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















