CANBERRA – Kerajaan Australia pada Selasa mengenakan sekatan terhadap tiga individu dan empat entiti sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, lapor Xinhua.
Mengumumkan sekatan itu dalam satu kenyataan, Menteri Luar Australia Penny Wong berkata keganasan pendatang haram terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat menjejaskan keselamatan Israel dan kedudukannya di mata dunia.
Menurut Wong, individu dan entiti berkenaan akan dikenakan sekatan kewangan, menjadikannya satu kesalahan bagi rakyat Australia untuk memberi mereka wang atau aset, manakala individu terbabit akan dilarang memasuki Australia.
“Buat kali pertama, entiti yang disenaraikan kini merangkumi pos pertanian yang menjadi pusat kegiatan keganasan pendatang,” kata Wong.
“Keganasan digunakan untuk mengusir rakyat Palestin dan mengekalkan perusahaan penempatan haram melalui pemusnahan harta benda, pemindahan keluarga, pukulan, serangan seksual dan penyeksaan yang mengakibatkan kecederaan serius serta kematian,” kata beliau.
Wong berkata Australia menyelaraskan sekatan itu dengan rakan termasuk New Zealand, dan langkah berkenaan mencerminkan komitmen Australia terhadap keselamatan serta masa depan Israel dan Palestin.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Mei menyertai pemimpin Britain, Itali, Perancis, Jerman, Kanada, Norway, Belanda dan New Zealand dalam menggesa penamatan kegiatan penempatan Israel yang semakin meningkat di Tebing Barat. – BERNAMA-XINHUA
















