Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak kerajaan segera menggubal dasar dan undang-undang yang jelas bagi melindungi rakyat daripada menjadi mangsa pertikaian antara hospital swasta dan syarikat insurans.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, ini kerana mereka yang mencarum insurans kesihatan sering berhadapan masalah ketika membuat tuntutan dengan pihak hospital.

“Kerajaan perlu menetapkan bahawa pesakit tidak harus dipertanggungjawab membayar caj hospital apabila berlaku pertikaian pentadbiran, isu panel, kelewatan surat pengesahan (GL) atau konflik perlindungan antara hospital dan syarikat insurans.

“Beban tersebut tidak wajar dipindahkan kepada rakyat yang sedang sakit dan berada dalam keadaan terdesak.

“Undang-undang juga mesti mewajibkan ketelusan penuh sebelum rawatan diberikan termasuk semakan awal perlindungan, pengesahan bertulis status tuntutan dan perlindungan pengguna daripada caj melampau atau syarat polisi yang mengelirukan,” katanya dalam kenyataan.

Pejuang Johor turut menuntut tindakan segera kerajaan bagi memastikan rakyat tidak lagi jatuh miskin hanya kerana mahu mendapatkan rawatan kesihatan.

Beliau berkata, pesakit tidak boleh dijadikan mangsa kelemahan sistem, pertikaian korporat atau ketidaktelusan antara hospital swasta dan syarikat insurans.

Dakwanya, setiap tahun hospital swasta dan syarikat insurans meraih keuntungan berjuta-juta ringgit, namun rakyat semakin terbeban dan akhirnya berpusu-pusu ke hospital awam yang sedia sesak.

“Menteri Kesihatan silih berganti tetapi masalah rakyat tetap sama, jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga isu kesihatan rakyat terus dipinggirkan,” tegasnya.

Kesihatan rakyat katanya, bukan barang dagangan dan rakyat mesti dilindungi serta bukan dipersalahkan.

Pejuang Johor memandang serius isu yang semakin membebankan rakyat apabila pesakit yang mempunyai polisi insurans kesihatan di hospital swasta akhirnya terpaksa menanggung sendiri kos rawatan yang tinggi akibat pertikaian perlindungan antara hospital dan syarikat insurans.

Katanya, ramai pesakit berdepan situasi perlindungan ditolak atas alasan rekod kesihatan lama, pengecualian polisi (exclusion) yang tidak dijelaskan sejak awal atau sistem bayar dahulu tuntut kemudian, sehingga memaksa mereka menggunakan wang sendiri sebelum tuntutan diproses.

Lebih membimbangkan katanya, proses tuntutan yang mengambil masa panjang serta ketidakjelasan kelulusan perlindungan menyebabkan ramai pesakit dan keluarga terbeban dengan hutang besar akibat caj rawatan yang tinggi.

Dalam keadaan tertentu, pesakit hanya mengetahui rawatan mereka tidak dilindungi selepas rawatan selesai atau ketika bil hospital sudah meningkat berkali ganda, katanya.

Zainuddin berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila berlaku pertikaian atau perubahan hubungan pentadbiran antara hospital swasta dan syarikat insurans.

“Kes melibatkan Generali Insurance dan rangkaian hospital KPJ baru-baru ini membuktikan bagaimana pertikaian antara institusi boleh memberi kesan langsung kepada pesakit, khususnya berkaitan kemudahan panel, jaminan surat kelulusan rawatan GL, akses rawatan dan kaedah pembayaran rawatan di hospital swasta,” katanya.

Tambahnya, pesakit yang sedang sakit tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan atau dipaksa menanggung risiko kewangan akibat isu pentadbiran antara dua pihak korporat.

Pejuang Johor menegaskan bahawa hospital swasta wajib menyemak status kesahihan polisi insurans pesakit sebelum proses kemasukan dilakukan.

Hospital ujar beliau, tidak boleh terus memasukkan pesakit untuk rawatan tanpa memastikan perlindungan adalah jelas dan sah.

Sekiranya terdapat ketidakpastian terhadap perlindungan atau kelulusan insurans, Zainuddin mencadangkan agar pesakit mesti diberikan penerangan bertulis dan pilihan yang jelas termasuk kaedah rawatan yang tidak membebankan.

Beliau menegaskan, kegagalan melaksanakan semakan awal merupakan kecuaian pentadbiran yang tidak boleh diterima.

Pejuang Johor turut mendesak syarikat insurans supaya lebih telus dalam menjelaskan syarat polisi kepada pelanggan, termasuk pengecualian (exclusion), penyakit sedia ada, had perlindungan serta sama ada polisi beroperasi secara cashless atau bayar dahulu, tuntut kemudian.

“Rakyat tidak boleh hanya mengetahui kelemahan polisi mereka selepas rawatan selesai atau selepas tuntutan ditolak.

“Penjual dan penyedia insurans mesti bertanggungjawab memastikan pelanggan benar-benar memahami perlindungan yang dibeli dan tidak sekadar mengejar keuntungan melalui pendaftaran polisi,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast