KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu kereta Volkswagen GTI yang terlibat kemalangan menyebabkan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut hingga putus kepala pada bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Beliau yang merupakan seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki di Jalan Losong Feri, 19 Mei lalu.
Tertuduh, Asrizal Hisham Khalid, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Berdasarkan pertuduhan, Asrizal Hisham didakwa memandu kereta jenis Volkswagen GTI secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18, di Jalan Losong Feri, pada pukul 3.36 petang, 19 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Asrizal Hisham juga berhadapan hukuman hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh minimum lima tahun dari tarikh sabitan jika didapati bersalah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Majistret turut menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki putus kepala selepas van yang dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI.
Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian selepas sebatang tiang lampu jalan tumbang mengenai kepala mangsa.-MalaysiaGazette
















