Jasad mangsa ditemukan kira-kira jam 9.41 malam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tidak mendengar larangan keluarga supaya tidak terjun ke dalam kawasan Empangan Batang Ai untuk mandi ditemukan mati lemas.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP Princha berkata, kejadian berlaku pada jam 6.15 petang semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi mangsa Rudie  Langgup, 31 dikatakan mengikuti adik iparnya ke perahu untuk menimba air namun mangsa kemudian ingin mandi tetapi dihalang kerana dikhuatiri akan membasahkan kenderaan apabila masuk ke dalam kereta.

Walau bagaimanapun, mangsa kemudian bertindak terjun ke dalam air.

“Seorang lagi saksi iaitu adik perempuan mangsa mendakwa sempat melihat mangsa melambai-lambai kedua belah tangan di lokasi kejadian, namun saksi beranggapan hanya satu gurauan kerana mangsa pandai berenang,” katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Inspektor Harper Kenol serta anggota lain kemudian telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pasukan SAR turut melibatkan pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Mayat mangsa kemudian berjaya ditemukan pada jam 9.41 malam tadi oleh pasukan SAR pada jarak lebih kurang satu meter dari tebing dengan kedalaman lima meter.

Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sri Aman 2 dan proses bedah siasat dijalankan pada pagi ini bagi mengenalpasti punca kematian mangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast