Allahyarham Supt Yuslimezam Hashim

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis berusia 51 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Superintenden Yuslimezam Hashim yang bertugas di Kontinjen Pahang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Tambah beliau, manakala pemandu lori berusia 50 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan dada.

“Menurut siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian di Jalan Batang Kali menghala ke Genting Highlands, mangsa dipercayai mengambil selekoh ke kiri sebelum hilang kawalan motosikal dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 50 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini .

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor, petang semalam.

Mohd Asri berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan, beliau menminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt Abu @ Ramli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast