KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali hari ini menyerahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berhubung cadangan penubuhan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara bagi memperkukuh kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta memelihara keharmonian negara.
Ibrahim yang juga mewakili Penyelaras Sekretariat Rakyat Bertindak (Desak) menyerahkan warkah tersebut ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, pagi tadi.
Ibrahim dalam kenyataannya berkata, cadangan kedua-dua akta berkenaan dizahirkan menerusi Perisytiharan Himpunan Daulat Tuanku yang diadakan pada 16 Mei lalu di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.
Dalam pertemuan itu, Ibrahim turut menjelaskan rasional dan kepentingan cadangan akta tersebut sebagai usaha memperkukuh kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara keharmonian negara serta memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam terus dihormati dan dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan berkenaan juga merupakan langkah pencegahan terhadap penghinaan berterusan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung negara dan negeri, selain mempertahankan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Pada masa sama, Ibrahim turut menyerahkan sembilan salinan warkah yang ditujukan kepada setiap Raja Melayu untuk dipersembahkan melalui saluran yang sewajarnya.
Beliau berharap usaha tersebut mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya demi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. – MalaysiaGazette
















