KUALA LUMPUR – Kes seorang bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian yang dilepas dan dibebas daripada pertuduhan memperoleh suapan selepas membayar kompaun perlu dijawab secara terbuka oleh pihak berwajib.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penjelasan itu bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan jenayah negara.
Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui rasional mengapa satu kes yang telah disiasat, didakwa di mahkamah dan melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 akhirnya diselesaikan melalui mekanisme kompaun.
Lebih-lebih lagi, ujarnya, apabila pertuduhan tersebut melibatkan elemen suapan yang mempunyai implikasi langsung terhadap integriti perkhidmatan awam.
Selain itu, tambahnya, jumlah kompaun dikenakan yang tidak didedahkan kepada umum berisiko menimbulkan persepsi bahawa kesalahan rasuah boleh `diselesaikan’ melalui pembayaran sejumlah wang tanpa melalui proses perbicaraan penuh.
“MCW berpandangan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu mempertimbangkan untuk menerbitkan garis panduan yang lebih jelas mengenai keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan sesuatu kes rasuah diselesaikan melalui kompaun.
“Ketelusan ini penting bagi memastikan prinsip keadilan bukan sahaja dilaksanakan, malah dilihat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, isu utama bukanlah individu yang terlibat, tetapi persepsi awam terhadap konsistensi penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, dalam usaha memerangi rasuah, keyakinan rakyat merupakan aset paling berharga dan sebarang keputusan yang tidak difahami masyarakat boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem perundangan negara.
Sehubungan itu, ujarnyam MCW menggesa SPRM dan pihak pendakwaan memberikan penjelasan yang komprehensif mengenai asas perundangan, pertimbangan awam serta justifikasi yang membawa kepada tawaran kompaun dalam kes ini.
“Prinsip yang mesti sentiasa dipertahankan ialah keadilan perlu ditegakkan, ketelusan perlu dipelihara, dan integriti institusi perlu terus diperkukuhkan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian daripada pertuduhan memperoleh suapan RM5,268, tiga tahun lepas.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A. Selvam memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh, Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45, telah membayar kompaun susulan representasi dikemukakan kepada pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette
















